Mayat warga emas mangsa kemalangan ditemui dalam longkang

Mayat mangsa ditemui bersama motosikal dinaiki di dalam longkang. - Foto tular media sosial
Mayat mangsa ditemui bersama motosikal dinaiki di dalam longkang. - Foto tular media sosial
A
A
A

KUANTAN – Mayat seorang lelaki warga emas dipercayai mangsa kemalangan ditemui tertelungkup di dalam longkang di Jalan Kuantan-Maran, Batu 14, Gambang di sini pada Selasa.

Mayat Ng Chee Choy, 75, ditemukan orang awam yang kebetulan melintas jalan berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda C100 dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Gambang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

“Mayatnya ditemukan dalam keadaan tertelungkup, lengkap berpakaian dan masih bertopi keledar tidak jauh dari motosikalnya,” katanya.

Ashari berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian dan pada tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian tersebut.

"Mangsa disyaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pengesahan daripada pihak perubatan mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia antara lima hingga enam jam sebelum ditemui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis turut menghubungi waris, selain berusaha mengesan saksi awam serta rakaman kamera papan pemuka dan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!