Akses bersasar simpanan KWSP wajar dibahas di Dewan Rakyat - PGIRM

Azmi
Azmi
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen wajar membawa isu mekanisme akses bersasar kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum yang benar-benar berada dalam keadaan kritikal untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, selepas hampir lima tahun membawa isu berkenaan, pihaknya berharap suara pencarum tidak terhenti pada penyerahan kertas dasar dan proses penilaian semata-mata.

“Harapan ini susulan penyerahan Kertas Dasar KWSP Bersasar oleh PGIRM bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kepada Pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada 11 September lalu.

“Kertas dasar tersebut membawa suara 5,150 pencarum, dengan 92.7 peratus responden bersetuju supaya kerajaan mengkaji mekanisme akses bersasar kepada simpanan KWSP bagi pencarum yang benar-benar berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 15 September lalu, Sinar Harian melaporkan PGIRM dan PPIM menyerahkan kertas dasar tersebut kepada Pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri untuk perhatian dan penilaian kerajaan.

Cadangan berkenaan bukan untuk membuka ruang pengeluaran simpanan KWSP secara bebas, sebaliknya mewujudkan mekanisme yang bersasar, bersyarat, terhad dan terkawal.

Justeru, Azmi berharap ahli Parlimen dapat membahaskan isu dan keresahan pencarum KWSP secara terbuka pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 5 Oktober ini.

Menurut beliau, PGIRM tidak meminta ahli Parlimen menyokong pendirian tertentu, sebaliknya berharap isu berkenaan diberi ruang untuk dibahaskan berdasarkan amanah dan mandat rakyat.

“Kami sudah bersuara. Kertas dasar sudah diserahkan. Kini masanya suara pencarum dinilai dan jika wajar, dibahaskan di Dewan Rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!