Sorok etomidate dalam kasut, lima rakyat Malaysia ditahan di Jakarta

JAKARTA – Lima rakyat Malaysia ditahan selepas didakwa cuba menyeludup lima kilogram serbuk etomidate iaitu sejenis ubat anestetik, dengan menyembunyikannya di bahagian tapak kasut ketika tiba di Indonesia dari Kuala Lumpur.
Menurut ANTARA, kesemua suspek ditahan pegawai Kastam Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Jumaat lalu.
Pengarah Bahagian Jenayah Narkotik Polis Indonesia (Bareskrim Polri), Inspektor Jeneral Eko Hadi Santoso berkata, setiap suspek membawa dua bungkusan serbuk dipercayai etomidate seberat kira-kira 500 gram setiap satu.
“Secara keseluruhan, 10 bungkusan dengan berat kasar lima kilogram ditemukan. Ujian makmal Kastam mengesahkan serbuk tersebut mengandungi etomidate,” katanya.
Siasatan mendapati lima suspek terbabit dipercayai bertindak sebagai kurier dan menerima arahan daripada seorang wanita dikenali sebagai ‘Madam’ menerusi aplikasi Telegram.
Selepas tiba di Jakarta, mereka diarahkan berkumpul di Yello Hotel Harmoni untuk mengumpulkan semua kasut berisi etomidate ke dalam sebuah beg pakaian merah.
Beg tersebut kemudiannya dipercayai akan diserahkan kepada seorang warga China dikenali sebagai Wu Song.
Susulan maklumat itu, polis menahan Song dan menemukan kunci sebuah unit di Apartmen Mediterania Marina Residence Tower, Jakarta Utara.
Serbuan ke unit berkenaan menemukan peralatan dan bahan dipercayai digunakan untuk menghasilkan pod vape mengandungi etomidate.
Polis turut menahan seorang warga Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai pemandu, menjadikan keseluruhan tujuh individu ditahan dalam siasatan rangkaian tersebut.
Menurut Eko, pihaknya merampas 85 liter bahan mentah cecair yang jika dimasukkan ke dalam pod berkapasiti dua mililiter setiap satu, mampu menghasilkan kira-kira 42,500 pod.
Dengan anggaran harga jualan tiga juta rupiah setiap pod, nilai potensi keseluruhan bahan berkenaan mencecah 127.5 bilion rupiah (RM28.86 juta).
Siasatan turut mendapati dua daripada lima rakyat Malaysia berkenaan didakwa pernah melakukan dua penghantaran etomidate, termasuk dari Malaysia ke Tokyo dengan bayaran RM7,000.
Bagi penghantaran ke Indonesia pula, mereka didakwa dijanjikan upah RM9,000.
Polis Indonesia berkata, siasatan terhadap rangkaian antarabangsa berkenaan masih diteruskan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

