Jerebu teruk kembali landa negara

Sebanyak 31 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 12.30 tengah hari pada Selasa. - Foto: Bernama
Sebanyak 31 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 12.30 tengah hari pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Keadaan jerebu yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak dua hari lalu kembali merosot apabila sebanyak 31 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 12.30 tengah hari, Selasa.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Serian, Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 175, diikuti Pasir Gudang, Johor (172), Larkin, Johor (172), Nilai, Negeri Sembilan (169), Johan Setia, Selangor (169) dan Cheras, Kuala Lumpur (165).

Selain itu, sebanyak 30 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala enam lokasi berada pada tahap baik.

Perkembangan tersebut menunjukkan kualiti udara yang sebelum ini bertambah baik kembali merosot, terutama di Sarawak, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain yang mula merekodkan bacaan melebihi paras tidak sihat.

Keadaan itu berbeza berbanding Ahad lalu apabila hanya enam kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat sebelum jumlah tersebut menurun kepada satu kawasan sahaja pada Isnin.

Pada Ahad, empat kawasan di Johor iaitu Kota Tinggi merekodkan bacaan IPU 165, diikuti Pasir Gudang (163), Pengerang (162) dan Larkin (156), manakala Serian dan Sri Aman di Sarawak masing-masing mencatatkan bacaan 152 dan 128.

Bagaimanapun, keadaan bertambah baik pada Isnin apabila hanya Serian kekal merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 154 setakat jam 1 tengah hari, manakala 59 kawasan berada pada tahap sederhana dan lapan lagi berada pada tahap baik.

Menurut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika trend bacaan IPU di seluruh negara menunjukkan perubahan yang tidak menentu sejak pertengahan September.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 September lalu, sebanyak 19 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat, manakala jumlah tersebut meningkat kepada 34 kawasan pada 18 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!