Jerebu teruk kembali landa negara

Sebanyak 31 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 12.30 tengah hari pada Selasa. - Foto: Bernama
Sebanyak 31 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 12.30 tengah hari pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan jerebu yang menunjukkan tanda semakin baik sejak dua hari lalu kembali merosot apabila sebanyak 31 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 12.30 tengah hari Selasa.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Serian, Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 175; Pasir Gudang, Johor (172); Larkin, Johor (172); Nilai, Negeri Sembilan (169); Johan Setia, Selangor (169), dan Cheras di ibu negara (165).

Sarawak turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat di tiga lokasi berbeza iaitu Kuching (160); Samarahan (159) dan Sri Aman berada pada tahap 132.

Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU 164 di Seremban dan Port Dickson selain negeri Melaka merekodkan bacaan IPU 172 di Bandaraya Melaka; Bukit Rambai (168) dan Alor Gajah (160).

Selain itu, Johor mencatatkan bacaan IPU tinggi di Batu Pahat dan Tangkak (164); Kota Tinggi (163); Pengerang (162); Segamat (159) serta Kluang (155), manakala Selangor merekodkan bacaan IPU 167 di Shah Alam; Klang (162); Banting (159), serta Kuala Selangor dan Petaling Jaya yang masing-masing mencatatkan 156.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula merekodkan bacaan IPU 154 di Batu Muda, serta Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bacaan IPU 163.

Pahang mencatatkan bacaan IPU 157 di Rompin; Balok Baru Kuantan (154) dan Indera Mahkota Kuantan (153), negeri Perak pula merekodkan bacaan IPU 154 di Seri Manjung, smentara Terengganu mencatatkan bacaan IPU 116 di Kuala Terengganu.

Sebanyak 30 kawasan mencatatkan bacaan IPU dengan tahap sederhana, manakala enam lokasi pula merekodkan bacaan pada tahap baik.

Situasi berkenaan membuktikan keadaan kualiti udara yang sebelum ini menunjukkan perkembangan positif kembali berubah, dengan beberapa kawasan terutama di Sarawak, Johor dan negeri-negeri lain mula merekodkan bacaan melebihi paras IPU tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu berbeza berbanding Ahad lalu apabila hanya enam kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat, sebelum jumlah tersebut berkurangan kepada satu kawasan pada Isnin.

Pada Ahad, empat kawasan di Johor iaitu Kota Tinggi merekodkan IPU 165, Pasir Gudang (163); Pengerang (162) dan Larkin (156), manakala IPD Serian dan Sri Aman di Sarawak masing-masing mencatatkan bacaan 152 dan 128.

Bagaimanapun, keadaan bertambah baik pada Isnin apabila hanya IPD Serian kekal merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 154 setakat jam 1 tengah hari, manakala 59 kawasan berada pada tahap sederhana dan lapan kawasan pada tahap baik.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala paras antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Perkembangan terbaharu itu juga berlaku selepas jumlah kawasan yang merekodkan IPU tidak sihat berubah-ubah sejak pertengahan September, termasuk 19 kawasan pada 21 September dan 34 kawasan pada 18 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!