Mekanik maut nahas tiga motosikal

BESUT - Seorang mekanik maut dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal di Jalan Kampung Gong Kepas Dalam, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa, Wan Mohd Saidy Wan Harun, 46, yang merupakan penduduk kampung berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda C70, Honda Wave 125 dan Demak Evo Z.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Honda C70 yang ditunggang mangsa bersama seorang pembonceng lelaki berusia 41 tahun dipercayai telah mengubah haluan dari sebelah kiri ke sebelah kanan jalan.
"Ketika kejadian, motosikal Honda Wave 125 yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan motosikal Honda Demak Evo Z yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 14 tahun sedang bergerak lurus di laluan yang sama.
"Motosikal Honda Wave 125 dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal Honda C70, manakala motosikal Demak Evo Z kemudiannya turut melanggar bahagian belakang motosikal Honda Wave 125," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang Honda C70 maut di lokasi kejadian manakala pembonceng motosikal berkenaan serta dua lagi penunggang remaja terbabit mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Besut di talian 09-6972700 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

