Ireland boikot salam pemain Israel, penjaga gol tarik diri

IRELAND membelasah Israel 3-0 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Debrecen, Hungary.
Perlawanan tersebut menyaksikan para pemain Ireland memakai lilitan lengan berwarna hitam sebagai tanda keprihatinan terhadap peperangan yang sedang berlaku di Gaza.
Selain itu, barisan pemain Ireland turut menundukkan kepala semasa lagu Israel dimainkan di stadium yang hampir kosong itu.
Kedua-dua pasukan juga tidak bersalaman sebelum perlawanan serta tidak bertukar pennant (bendera kecil pasukan).
Pada aksi tersebut, Troy Parrott meletakkan Ireland di hadapan seawal minit ke-14 dan meraikannya dengan simbol hati menggunakan tangannya.
Jack Moylan kemudiannya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-25 sebelum mencium lencana Ireland di jersi serta lilitan lengan hitam yang dipakai.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar menuduh Ireland berada di 'pihak yang salah dalam sejarah'.
Sebelum ini, kedudukan perlawanan tersebut yang menyaksikan Israel bertindak sebagai tuan rumah di venue berkecuali sempat menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, pemain Ireland memilih untuk meneruskan perlawanan menerusi undian majoriti, biarpun menerima desakan hebat daripada peminat tempatan untuk memboikotnya.
Hanya penjaga gol, Gavin Bazunu membuat keputusan untuk menarik diri.
"Adalah salah untuk mengambil bahagian dalam perlawanan ini mahupun aksi timbal balik di Serbia pada 4 Oktober ini memandangkan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah masih berlaku," tegas Bazunu.
Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) tidak menyediakan sebarang tempahan tiket untuk penyokongnya manakala penyiar awam negara itu, RTE menyiarkan perlawanan berkenaan tanpa ulasan perlawanan.
Ireland sekian lama menjadi penyokong kuat perjuangan rakyat Palestin yang mana rasa simpati tersebut sering dikaitkan dengan sejarah penindasan yang pernah dialami negara itu di bawah pemerintahan British.
Pada tahun 2024, Dublin secara rasmi mengiktiraf negara Palestin bersama-sama Sepanyol dan Norway, selain berulang kali mengecam tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
