Mangsa letupan di Athens warga AS, Britain dan Greece

ATHENS - Enam mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan dan bangunan runtuh di kawasan bersejarah Plaka di Athens dua hari lepas telah dikenal pasti sebagai empat warga Amerika Syarikat (AS), seorang warga Britain dan seorang warga Greece, kata Kementerian Luar Greece pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kementerian itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan sanak saudara mangsa menerusi platform media sosial X.
Kesemua enam mangsa pada mulanya dilaporkan hilang selepas letupan berkenaan sebelum mayat mereka ditemukan di bawah runtuhan bangunan terbabit.
Menurut laporan media tempatan, mangsa warga AS terdiri daripada dua pasang suami isteri dengan seorang daripadanya dilaporkan sedang hamil. Pasangan terbabit menginap di sebuah pangsapuri percutian di tingkat satu bangunan berkenaan.
Mereka dijadualkan berlepas pulang ke AS pada hari kejadian dan telah mendaftar masuk untuk penerbangan pulang, namun tidak memunculkan diri di lapangan terbang, lapor media Greece yang memetik sumber polis.
Dua lagi mangsa - seorang lelaki warga Britain dan seorang wanita warga Greece - menetap di tingkat dua bangunan berkenaan.
Bangunan tiga tingkat itu runtuh pada Jumaat kira-kira 7.30 pagi waktu tempatan (0430 GMT) susulan letupan kuat yang turut mencetuskan kebakaran. Seorang pejalan kaki mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan bangunan, manakala dua wanita dari bangunan bersebelahan dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Punca letupan masih belum dapat dipastikan dan pihak pakar sedang menyiasat pelbagai kemungkinan termasuk kebocoran gas. Penduduk setempat dilaporkan ada menghidu bau gas sebelum letupan berlaku. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
