PRN Melaka: BN hormati pilihan logo Pas, rakan kerjasama belum dimuktamad - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Pas mengenai logo atau lambang yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, BN masih belum memuktamadkan parti atau gabungan yang akan bekerjasama dengannya bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.

“Pada minggu ini kita akan ada perbincangan dengan beberapa pihak, dengan parti gabungan mana, dengan parti mana kita akan bertanding.

“Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka, logo dan lambang apa yang akan mereka gunakan. Itu terserah kepada mereka,” katanya ketika disoal sama ada BN bersedia membenarkan Pas bertanding menggunakan logo BN pada PRN Melaka untuk penyatuan Melayu sekiranya krisis melibatkan Perikatan Nasional (PN) berlarutan.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau berada di Melaka pada Sabtu dan telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai persediaan menghadapi PRN.

Menurutnya, hasil rundingan dengan pihak berkaitan akan dibawa kepada kepimpinan tertinggi UMNO serta Dewan Tertinggi BN sebelum sebarang bentuk persefahaman atau kerjasama dimuktamadkan.

“Ini untuk kita memuktamadkan bentuk persefahaman atau kerjasama yang perlu kita lakukan apabila Melaka menjalankan pilihan raya,” katanya lagi,

Semalam Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, gabungan itu tidak menolak kemungkinan menggunakan logo Pas atau parti komponen lain pada PRN Melaka sekiranya penggantungan PN masih berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Pas tidak mempunyai masalah untuk menggunakan logo sendiri, manakala penggunaan lambang parti komponen merupakan antara pilihan yang dipertimbangkan bagi membolehkan kerjasama antara parti diteruskan.

Pada Khamis, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu ketika itu belum membincangkan lambang yang akan digunakan pada PRN Melaka dan perkara berkenaan akan diputuskan kepimpinan pusat.

RoS sebelum itu mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Perintah itu dikeluarkan susulan notis di bawah Subseksyen 13(2) pada 22 Sept yang memerlukan PN memberikan penjelasan berhubung aduan diterima, namun RoS menegaskan tindakan berkenaan bukan pembatalan pendaftaran gabungan itu.

Takiyuddin sebelum ini berkata PN tidak bersetuju dengan asas keputusan RoS dan akan mengambil langkah melalui proses undang-undang bagi mempertahankan gabungan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat pada 7 Oktober ini bagi menentukan tarikh penting PRN Melaka termasuk hari penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian. - Awani 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!