Pusat hiburan 'gay' diserbu

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang menawarkan persembahan tarian oleh warga asing golongan ‘sejenis’ diserbu dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Klang Lama di sini pada Sabtu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 12.05 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.
"Seramai empat warga asing ditahan dalam operasi berkenaan membabitkan tiga lelaki warganegara China dan seorang lelaki Filipina berusia antara 21 hingga 31 tahun.
“Semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zakaria berkata, operasi itu turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ibu Pejabat dan Kuala Lumpur.

"Pusat hiburan yang beroperasi sejak tahun lalu dipercayai menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing daripada golongan ‘sejenis’ dengan menyasarkan pelanggan tempatan serta warga asing di sekitar Lembah Klang.
"Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah antara RM53 hingga RM700 bergantung kepada jenis minuman dan tempahan meja," katanya.
Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.Dalam operasi sama, tiga lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.
Zakaria berkata, JIM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam melaksanakan operasi secara berterusan dan tegas bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
“Langkah ini bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
