City tetap yakin dapat buktikan tidak bersalah

PENGERUSI Manchester City, Khaldoon Al Mubarak menegaskan kelab itu kekal yakin mampu membuktikan mereka tidak bersalah susulan laporan mendakwa juara Inggeris itu didapati bersalah atas 114 daripada 115 pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bagaimanapun, keputusan berkenaan masih belum diumumkan secara rasmi oleh EPL manakala sebarang bentuk hukuman terhadap kelab berkenaan juga belum diputuskan.
Al Mubarak menerusi surat terbuka kepada penyokong pada Sabtu menegaskan proses berkenaan masih panjang dan City bersedia meneruskan perjuangan mereka untuk membersihkan nama kelab.
“Proses Liga Perdana masih mempunyai perjalanan yang panjang dan keyakinan serta hasrat kami untuk membuktikan kelab ini tidak bersalah kekal sama seperti ketika kes ini bermula,” katanya.
Menurutnya, terdapat banyak perkara yang mahu dikongsikan kepada penyokong bagi menjelaskan mengapa pihak kelab begitu yakin dengan kedudukan mereka.
Namun, beliau mengakui terikat dengan kerahsiaan ketat sepanjang proses berkenaan.
“Masih ada pihak yang mahu menjejaskan momentum kelab ini. Kami tidak akan memberi mereka peluang itu,” katanya.
City didakwa melakukan pelanggaran peraturan kewangan dalam tempoh 2009 hingga 2018, termasuk kegagalan menyediakan maklumat kewangan yang tepat serta butiran bayaran kepada pemain dan jurulatih.
Kelab itu turut berdepan pertuduhan melanggar peraturan kelestarian kewangan selain didakwa gagal memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.
Kes berkenaan dibawa ke suruhanjaya bebas dengan prosiding bermula pada September 2024 dan berlangsung kira-kira 12 minggu secara tertutup.
Laporan mengenai keputusan terbaharu itu muncul pada Jumaat, dengan City dilaporkan bersalah atas 114 pertuduhan.
City bagaimanapun sejak awal menafikan semua pertuduhan dan dijangka mengemukakan rayuan sekiranya keputusan tersebut disahkan secara rasmi.
Kes berprofil tinggi itu berpotensi memberi kesan besar kepada bola sepak Inggeris sekiranya keputusan berkenaan akhirnya dikekalkan selepas proses rayuan.
Antara hukuman yang menjadi perhatian ialah potongan mata yang besar, denda kewangan atau tindakan lebih berat termasuk kemungkinan penyingkiran daripada EPL, walaupun belum ada keputusan rasmi mengenai bentuk hukuman.
Di bawah pemilikan Sheikh Mansour sejak 2008, City berubah menjadi antara kuasa utama bola sepak Inggeris dengan meraih lapan kejuaraan EPL selain gelaran Liga Juara-Juara Eropah pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
