Qabil Irfan mula ‘panaskan jentera’

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memulihkan kecederaan kaki kiri ketika sesi latihan bebas kedua (FP2) Moto4 European Cup di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada 5 September lalu.
Pelumba itu mengalami kecederaan pada tulang tibia dan fibula selepas terjatuh dalam sesi berkenaan sebelum menjalani pembedahan di Hospital de Manises, Valencia.
Sekembali ke Malaysia, Qabil Irfan menjalani fisioterapi setiap hari di Sepang menerusi program pemulihan yang dirancang serta diselaraskan ZK Racing.
Program berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan tumpuan diberikan kepada pemulihan kekuatan, pergerakan dan kecergasan fizikal selepas pembedahan.
Dalam perkembangan terkini, Qabil Irfan sudah mula melakukan latihan ringan mengikut tahap pemulihannya termasuk berbasikal dan menunggang motosikal secara terkawal.
Latihan itu bertujuan membina semula kekuatan fizikal dan keyakinan sebelum dia kembali ke litar untuk menyambung saingan kompetitif.
Bagaimanapun, keadaan semasa memaksanya tidak beraksi pada pusingan keenam Moto4 European Cup di Aragon, Sepanyol.
ZK Racing mengambil keputusan itu bagi memberi ruang kepada Qabil Irfan menjalani pemulihan secara optimum serta mengelakkan dia kembali berlumba sebelum benar-benar bersedia dari sudut fizikal dan perubatan.
Pasukan itu turut terus memantau perkembangannya bagi memastikan setiap fasa pemulihan dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Sekiranya pemulihan berjalan lancar dan mendapat pengesahan serta pelepasan daripada pihak perubatan, Qabil Irfan disasarkan kembali beraksi menerusi Moto4 Asia Cup di Mobility Resort Motegi, Jepun dari 2 hingga 4 Oktober.
Buat masa ini, fokus utama ZK Racing adalah memastikan pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu mencapai tahap kecergasan yang diperlukan sebelum kembali menggalas cabaran di litar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
