Azmin dedah punca Bersatu buat aduan terhadap PN kepada RoS

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Penafian hak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadiri, menyuarakan pendapat dan mengundi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu menjadi aduan parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), sebelum penggantungan semua kegiatan gabungan berkuat kuasa 23 September lalu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu telah mengemukakan aduan bertulis kepada RoS pada 11 Ogos lalu berhubung tindakan kepimpinan baharu gabungan itu yang didakwa melanggar Perlembagaan PN.

"Bersatu juga telah mengemukakan aduan kepada RoS mengenai kewujudan 'kuasa veto' yang mempengaruhi keputusan dibuat Majlis Tertinggi PN.

"Individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN sering mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman dan tekanan untuk melucutkan dan/atau menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah dalam PN.

"Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan PN," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, RoS telah mengesahkan terima aduan Bersatu dan penelitian sedang dijalankan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan berkaitan dan Perlembagaan PN.

Malah menurutnya, beliau sendiri telah hadir mewakili parti untuk memberi keterangan pada 18 Ogos di Ibu Pejabat RoS, Putrajaya berhubung aduan yang dibuat oleh Bersatu.

"Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada Pegawai Penyiasat RoS dan menerangkan asas aduan yang dibuat pada 11 Ogos 2026.

"Saya menggesa kepimpinan tertinggi dan pihak pengurusan PN idak meremehkan peranan RoS dengan melemparkan tohmahan jahat yang tidak berasas untuk meraih simpati politik dan menutup kegagalan kepimpinan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"RoS telah berulang kali memberi peringatan secara bertulis kepada PN supaya pertubuhan ini hendaklah menjalankan segala aktiviti pertubuhan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) dan Perlembagaan PN," tegasnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!