[VIDEO] Remaja Indonesia didakwa edar lebih 25kg dadah

A
A
A

UANG – Seorang remaja lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan mengedar dadah disyaki heroin dan methamphetamine dengan berat keseluruhan lebih 25 kilogram (kg), pada minggu lalu.

Tertuduh, Nanda Afrizal, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang juga buruh binaan didakwa mengedar dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat kasar 17,842 gram di sebuah bilik sebuah rumah di Taman Lian Seng, kira-kira jam 3 petang pada 13 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah disyaki methamphetamine dengan anggaran berat kasar 8,109 gram di lokasi dan waktu sama.

Kesalahan itu juga didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Sekiranya disabit kesalahan, kedua-dua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali.

Nanda (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang pada Jumaat.
Nanda (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertuduhan berasingan, Nanda turut didakwa memiliki dadah disyaki methamphetamine dengan anggaran berat kasar 5.25 gram di ruang tamu rumah sama pada waktu dan tarikh berkenaan.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan menetapkan 25 November bagi serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana didakwa tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan sosial pada 8 Oktober tahun tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan daripada tarikh tangkap an selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!