[VIDEO] Dua pelajar tahfiz didakwa cederakan rakan guna seterika
PARIT – Dua pelajar lelaki dari sebuah maahad tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar menggunakan seterika, minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 13 dan 14 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menggunakan senjata atau alat yang boleh mendatangkan kecederaan, iaitu sebuah seterika.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah maahad tahfiz al-Quran di daerah Perak Tengah kira-kira jam 4 petang pada 19 September 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Jayasri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadrah Badarudin.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 setiap seorang dan menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, tangkapan terhadap kedua-dua pelajar itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang doktor pada Isnin lalu yang memaklumkan telah merawat mangsa yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua pada bahagian dada.
Berdasarkan keterangan mangsa, dua rakannya didakwa menekapkan seterika panas pada bahagian dada sehingga menyebabkan kecederaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

