Tabung Najib: Ahli Pas tidak selesa tetapi akur keputusan pimpinan - Penganalisis

KUALA LUMPUR - Pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak dan naratif UMNO berhubung sumbangan kepada bekas Perdana Menteri itu tidak memberi 'keselesaan' kepada kebanyakan ahli Pas yang tidak setuju dengan tindakan sedemikian.
Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, namun begitu, ahli-ahli Pas terpaksa akur kerana ketaatan kepada keputusan politik oleh pimpinan tertinggi dan mereka bersetuju.
“Kerana itu arahan Datuk Iskandar Abdul Samad (Bendahari Agung Pas) untuk mendahulukan sumbangan kepada pembangun parti boleh dibaca secara tidak literal bahawa parti itu mahu ahli mengutamakan parti kerana bantuan kepada parti lain mungkin akan mengakhiri hubungan tersebut.
“Namun untuk mengatakan tidak sehaluan secara literal juga tidak boleh dikatakan begitu, saya lihat Pas lebih berhati-hati selepas menerima kecaman umum ekoran kenyataan media yang mereka keluarkan seusai keputusan terkait tahanan dalam rumah Najib dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Iskandar meminta ahli Pas mendahulukan tanggungjawab kepada parti sebelum membuat sumbangan kepada tabung solidariti bagi membantu Najib.
Ujar Iskandar, antara keutamaan ketika ini ialah menyumbang kepada dana pembinaan kompleks Pas pusat berhampiran Putrajaya yang memerlukan kira-kira RM50 juta.
Ia susulan inisiatif UMNO melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta selepas beliau diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Kutipan derma itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan, tujuh hari selepas menerima pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, Najib masih menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Ini susulan denda RM50 juta yang merupakan antara syarat perlu dipenuhi bagi pelaksanaan baki hukuman secara tahanan rumah masih belum dilunaskan.
Dalam pada itu, Wan Rohila berkata, tafahum siyasi di antara UMNO dan Pas bukan perkara baru, cuma beberapa cubaan untuk bekerjasama sebelum ini menemui kegagalan atas faktor-faktor perbezaan politik dan ideologi.
Beliau menjelaskan, kutipan derma yang dilancarkan UMNO itu boleh dilihat dari dua sudut iaitu pertama dari sudut moral yang mana UMNO boleh merasa lega kerana akar umbi mereka masih kuat, masih berakar dengan parti walau UMNO pernah melalui fasa kejatuhan.
Katanya, kejayaan UMNO mengumpul sumbangan lebih RM1 juta dalam masa singkat jelas menunjukkan UMNO masih disayangi dan dipauti oleh akar umbi mereka.
“Saya nampak usaha kutipan derma ini bukan sebab UMNO tidak ada duit, tetapi hendak tengok arus sokongan akar umbi serta penyokong Najib masih ada atau tidak. Ternyata strategi ini menjadi untuk menguji pengaruh,” ujarnya.
Dari sudut kedua pula, katanya, UMNO perlu ingat, pengundi atas pagar yang melihat parti itu dan penyokongnya berkompromi serta bermudah-mudah dengan pesalah rasuah.
Ini kerana katanya, kesalahan Najib sudah diputuskan mahkamah dan rakyat menilai kesan-kesan daripada salah laku kewangan 1MDB dan SRC kepada kewangan negara yang mana kerajaan masih membayar hutang 1MDB sehingga sekarang.
“Maka ada yang kecewa dan memandang serong kepada UMNO. Jadi saya lihat isu ini, tidak boleh dilihat dari sudut ‘hitam putih’ sahaja kerana kognitif politik pengundi itu berbeza-beza,” tegasnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
