Padah bela ayam hutan, burung serindit tanpa permit

KUANTAN - Hobi memelihara ayam hutan dan burung serindit Loriculus galgulus membawa padah apabila seorang lelaki ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Teris Lanchang Temerloh pada Rabu.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan dalam serbuan anggota Task Force Batalion 7 PGA menerusi Op Bersepadu Khazanah kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurutnya, pemeriksaan di sekitar kawasan luar rumah berkenaan menemukan 10 ekor ayam hutan, empat ekor burung jenis Loriculus galgulus dan 14 buah sangkar.
"Lelaki itu kemudian diminta mengemukakan dokumen berkaitan hidupan berkenaan, namun gagal berbuat demikian," katanya.
Ahmad Radzi berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki berkenaan menangkap burung tersebut di ladang sawit Kampung Teris menggunakan jaring.
Jelasnya, lelaki berkenaan memaklumkan memelihara burung dan ayam hutan tersebut selama lebih kurang setahun.
"10 ekor ayam hutan yang dirampas dianggarkan bernilai RM15,000 manakala empat ekor burung jenis Loriculus galgulus bernilai RM900 dan 14 sangkar bernilai RM1,400.
“Jumlah nilai rampasan ialah RM17,300,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, lelaki berkenaan ditahan dan kesemua barang kes dibawa ke Balai Polis Temerloh untuk membuat laporan polis.
Katanya, kesemua barang kes diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Pahang untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

