Pengerusi NGO tidak hadir kali kedua, mahkamah kekalkan waran tangkap

Pihak pendakwaan dan anggota KPDN tiba di Mahkamah Kota Bharu. 
Pihak pendakwaan dan anggota KPDN tiba di Mahkamah Kota Bharu. 
A
A
A

KOTA BHARU - Sehari selepas dikenakan waran tangkap, pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sekali lagi tidak hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bagi menghadapi 30 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok minyak masak.

Orang kena saman (OKS), Pui Tiong Lam, 61, tidak hadir ke mahkamah berkenaan atas alasan cuti sakit.

Dia yang juga pemilik perniagaan borong minyak masak sebelum ini dikenakan waran tangkap oleh mahkamah sama pada Rabu selepas gagal menghadirkan diri bagi menghadapi 42 pertuduhan berkaitan bekalan minyak masak bersubsidi.

Hakim Nik Habri Muhamad kemudian menetapkan 15 Oktober depan untuk OKS hadir bagi menghadapi pertuduhan terbaharu berkenaan.

Pada prosiding itu, peguam yang mewakili OKS, Nurul Atikah Che Anawa dan Nur Insyirah Yusmizul memaklumkan keadaan kesihatan Tiong Lam serta memohon supaya waran tangkap yang dikeluarkan sehari sebelumnya dibatalkan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Siti Edabayu Subhan dan Pegawai Pendakwa, Muhammadi Iman Masjuri bagaimanapun membantah permohonan tersebut.

Siti Edabayu berkata, pihak pendakwaan tidak membantah ketidakhadiran OKS kali kedua atas alasan cuti sakit, namun waran tangkap yang dikeluarkan sebelum itu hendaklah kekal sehingga dia hadir ke mahkamah.

Dalam pada itu, Nik Habri menasihati peguam supaya memastikan anak guamnya hadir pada tarikh ditetapkan memandangkan kes berkenaan membabitkan keseluruhan 72 pertuduhan.

“Kes ini bukan sedikit. Semalam, 42 pertuduhan pun tidak datang dan saya sudah keluarkan waran tangkap, hari ini 30 pertuduhan tapi cuti sakit.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kami mahu uruskan kes ini dengan cepat dan saya berharap 15 Oktober depan OKS hadir,” katanya.

Sementara itu, Muhammadi Iman berkata, 30 pertuduhan yang sepatutnya dihadapi OKS terbabit adalah mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal menyelenggara buku stok.

Menurutnya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiong Lam juga dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir bagi menghadapi 42 pertuduhan, termasuk satu pertuduhan kerana gagal mengemukakan dokumen stok barang kawalan berjadual minyak masak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!