Amaran ribut petir, hujan lebat di 10 negeri

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta 10 negeri hingga jam 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Di Kedah, kawasan dijangka terjejas ialah Kulim, Bandar Baharu dan Baling manakala di Perak melibatkan Hulu Perak, Selama, Larut Matang, Kerian, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Hilir Perak.
Amaran sama dikeluarkan bagi Kelantan, iaitu di Jeli dan Kuala Krai, Terengganu (Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Hulu Terengganu) dan Pahang (Cameron Highlands, Raub, Bentong, Bera, Jerantut, Lipis dan Kuantan).
Cuaca buruk juga dijangka melanda Selangor (Petaling, Gombak dan Hulu Langat), Negeri Sembilan (Jelebu dan Jempol) serta Johor (Kulai, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat).
Sementara itu di Sabah, amaran meliputi Sandakan (Kinabatangan), Tawau (Lahad Datu, Tawau dan Kalabakan), Pedalaman (Pensiangan, Tambunan, Tenom, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Keningau dan Sipitang) dan Pantai Barat.
Di Sarawak, kawasan dijangka terjejas ialah Limbang dan Miri (Bario, Marudi dan Telang Usan). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
