Kaji semula pembekuan lesen nelayan kelas A, fiber

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan diminta mengkaji semula pembekuan pemberian lesen nelayan kelas A dan nelayan fiber kerana pelaksanaan pembekuan tersebut dilihat tidak bersandarkan realiti sebenar.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, isu sebenar yang harus dilihat adalah kegagalan mengawal aktiviti pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai.

“Antara sebab yang selalu disebut Jabatan Perikanan sebagai justifikasi untuk membekukan pengeluaran lesen nelayan kelas A ialah bagi menjaga sumber perikanan.

“Dikatakan sumber perikanan kita makin sedikit, bila nelayan makin ramai maka makin banyak sumber perikanan akan dikaut lalu akhirnya sumber itu akan habis. Realitinya, nelayan pantai kelas A dan nelayan fiber tidak menggunakan alatan menangkap ikan yang merosakkan sumber perikanan dan mengganggu ekosistem marin.

“Namun yang menjadi igauan ialah kegagalan mengawal aktiviti pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai,” katanya, hari ini.

Menurut Dr Azman, selain merosakkan unjam dan tukun, ada laporan mengatakan kira-kira 60 peratus hasil pendaratan pukat tunda adalah anak-anak ikan yang akhirnya menjadi ikan baja bernilai rendah.

Kesal dengan situasi tersebut, beliau berkata, hasil perikanan negara dapat dijaga dan tidak akan mudah menyusut sekiranya 60 peratus anak-anak ikan itu dibiarkan membesar di lautan.

“Pendapat saya, pembekuan pemberian lesen nelayan kelas A dan lesen nelayan fiber perlu dikaji semula supaya justifikasi pembekuan benar-benar berpijak di bumi nyata.

Artikel Berkaitan:

“Tak beri lesen pun mereka tetap turut ke laut kerana itulah sumber rezeki yang ada dan saya bersimpati dengan mereka,” katanya.