Kerjasama PH-Bersatu: PRN Melaka boleh jadi perintis

Amanah terbuka kepada kemungkinan kerjasama antara PH dan Bersatu.
Amanah terbuka kepada kemungkinan kerjasama antara PH dan Bersatu.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) terbuka kepada kemungkinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bersatu termasuk menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai medan awal untuk merintis bentuk kerjasama politik berkenaan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya Bersatu mahu bekerjasama dengan PH berdasarkan pengalaman kedua-dua pihak yang pernah membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kalau mereka cepat (bentuk kerjasama), cepatlah. Jadi kita harap di Melaka ini merupakan sebaiknya merintis jalan-jalan awal untuk kerjasama politik ini dalam pelbagai bentuk yang boleh difikirkan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung pengesahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Bersatu mempunyai hasrat untuk bekerjasama dengan PH.

Anwar dilaporkan berkata, perkara itu diserahkan kepada Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menguruskannya.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak menolak kemungkinan perbincangan kerjasama politik baharu turut membabitkan PH malah parti itu mengambil sikap terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, hasrat Bersatu untuk kembali bersama PH dipercayai didorong pengalaman politik yang dilalui parti itu selain melihat kepada perjuangan PH dalam aspek tadbir urus, membanteras rasuah dan memperkukuhkan integriti negara.

"Jadi kita tidak ada masalah dengan mereka. Saya percaya hasrat Bersatu itu didorong oleh pengalaman yang telah mereka lalui.

"Mereka melihat bagaimana kejujuran dan keikhlasan serta konsistennya PH dalam perjuangan yang sama untuk memerangi kleptokrasi, korupsi dan menegakkan integriti," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, keterbukaan Amanah dan PH bukan hanya terhad kepada Bersatu, sebaliknya turut merangkumi parti politik lain yang bersedia bekerjasama demi kepentingan negara.

Beliau berkata, kerjasama antara parti politik perlu dilihat sebagai satu keperluan dalam landskap politik semasa, selain menyeru semua pihak mengetepikan perbezaan dan ego politik demi kepentingan negara.

"Memang bagi saya kita terbuka. Walaupun Bersatu dan sebagainya untuk melihat kepada kepentingan dan keperluan untuk kita bekerjasama dalam melihat ke hadapan. Sebab di Malaysia ini kita tidak boleh bersendirian atas satu-satu parti.

"Saya harap parti-parti politik yang lain itu harus ada keterbukaan, merendahkan ego untuk melihat ke hadapan supaya kita tidak kembali kepada cara urus tadbir lama," katanya lagi.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, PH dan Bersatu perlu membuka ruang perbincangan bagi meneroka kerjasama politik supaya tidak berdepan situasi ‘kalah-kalah’ pada pilihan raya akan datang.

Jelasnya, perkembangan politik negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan jajaran politik boleh berubah dan sukar dijangka.

"Keadaan itu membuka ruang kepada parti politik untuk meneroka bentuk kerjasama baharu termasuk antara PH dan Bersatu. Bukan sahaja kepada Bersatu, malah juga kepada Parti Bersama contohnya dan kepada lain-lain parti. Kita kena duduk dalam satu gabungan.

“Jika Bersatu dan PH bertanding secara berasingan, keadaan itu berpotensi menyebabkan kedua-dua pihak kehilangan sokongan di kawasan tertentu akibat pecahan undi,” ujarnya.

Ismail berkata, rundingan bagi membentuk kerjasama politik perlu dilihat sebagai usaha mengubah keadaan ‘kalah-kalah’ kepada situasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Jadi macam mana nak bagi ‘kalah-kalah itu’ kepada ‘menang-menang', maka tiada pilihanlah kena duduk bersama,” jelasnya.

Ismail pada masa sama menyambut baik tindakan Perdana Menteri kerana membuka ruang perbincangan berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dan Bersatu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!