Lelaki ditahan tembak, cat kera dalam perangkap Perhilitan

Seorang lelaki ditahan selepas rakaman video menunjukkan dia melakukan penganiayaan terhadap haiwan tular di Facebook, kelmarin. - Foto FB Persatuan Haiwan Malaysia
Seorang lelaki ditahan selepas rakaman video menunjukkan dia melakukan penganiayaan terhadap haiwan tular di Facebook, kelmarin. - Foto FB Persatuan Haiwan Malaysia
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan penganiayaan terhadap seekor kera yang terperangkap dalam perangkap dipasang agensi itu di Taman Astaka Village di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan susulan tindakannya menembak haiwan berkenaan menggunakan senapang tiruan.

Menurutnya, lelaki terbabit turut bertindak mengecat haiwan berkenaan dengan menggunakan alat penyembur.

"Tindakan diambil susulan aduan Persatuan Haiwan Malaysia berikutan video perbuatan lelaki tersebut yang tular di Facebook kelmarin.

"Perbuatan tersebut satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 86 (Kezaliman Terhadap Hidupan Liar) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Rozidan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang menzalimi haiwan liar atau binatang peliharaan.

"Lelaki tersebut akan didakwa dalam masa terdekat selepas semua kertas siasatan lengkap. Kes ini adalah yang pertama di negeri membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 86," katanya.

Beliau turut memuji tindakan segera persatuan terbabit yang menghubungi Perhilitan dan penguat kuasa berjaya mengesan individu berkenaan dalam tempoh beberapa jam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perangkap kera di Taman Astaka Village itu dipasang sejak beberapa hari lalu ekoran aduan penduduk berhubung gangguan haiwan tersebut.

"Kita dapati taman berkenaan berada bersebelahan dengan kawasan hutan dan penduduk mendakwa kumpulan kera mengganggu mereka," katanya.