Bekalan makanan negara cukup

Che Abdullah (hadapan) menunjukkan hasil tuaian tembikai wangi yang diusahakan oleh para petani menerusi Projek Pemulihan Tanah Terbiar Kampung Slow Teliar, Bunut Susu semalam.
Che Abdullah (hadapan) menunjukkan hasil tuaian tembikai wangi yang diusahakan oleh para petani menerusi Projek Pemulihan Tanah Terbiar Kampung Slow Teliar, Bunut Susu semalam.
A
A
A

PASIR MAS - Bekalan makanan termasuk buah-buahan dijamin mencukupi sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula pada 24 April depan meskipun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan sentiasa membuat pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

“Walaupun aspek pergerakan pada musim PKP agak terbatas, namun ia tidak mengganggu stok bekalan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau kerja-kerja penuaian hasil tembikai wangi yang diusahakan oleh para petani menerusi Projek Pemulihan Tanah Terbiar Kampung Slow Teliar, Bunut Susu di sini semalam.

Che Abdullah (dua dari kiri) melihat hasil tuaian tembikai wangi di Kampung Slow Teliar, Bunut Susu semalam.
Che Abdullah (dua dari kiri) melihat hasil tuaian tembikai wangi di Kampung Slow Teliar, Bunut Susu semalam.

Menurutnya, kerja-kerja mengimport produk buah-buahan dari luar negara seperti epal, kurma dan lain-lain masih lagi berjalan seperti biasa.

Katanya, setiap barangan yang diimport itu melalui proses saringan ketat oleh agensi berkaitan bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah turut memuji komitmen ditunjukkan oleh para petani yang sentiasa bekerja keras bagi memastikan stok bekalan makanan negara sentiasa cukup.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, para petani merupakan salah satu daripada kumpulan barisan hadapan negara.

“Tanpa mereka (petani) mungkin kita berdepan dengan kekurangan stok bekalan makanan.

“Saya ingin mengingatkan para petani supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa mencuci tangan serta menjaga penjarakan sosial dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.