Sabri Yunus, Fizo Omar antara penerima KBEA 2026

KOTA BHARU - Ikon selebriti negara, Sabri Yunus dan isterinya, Ardini Angeline Tan, serta pelakon dan usahawan Fizo Omar antara 30 penerima yang menerima pengiktirafan menerusi Kelantan Business Entrepreneurship Awards (KBEA) 2026.
Turut menerima anugerah ialah kumpulan Pok Pang Band, pempengaruh Wadiey Bobby dan Mek Kelate Mek Manis, pada majlis yang dianjurkan Media Home Communication bagi menghargai pencapaian usahawan serta tokoh dalam pelbagai bidang.
KBEA 2026 menerima sebanyak 150 pencalonan sebelum Jawatankuasa KBEA melakukan penilaian bagi memilih 30 penerima yang dianggap layak menerima pengiktirafan berkenaan.
Bertemakan “Bukan Sekadar Anugerah. Sebuah Pengiktirafan Yang Membina Legasi”, KBEA 2026 diwujudkan sebagai platform untuk meraikan individu yang menunjukkan kesungguhan, keberanian mengambil peluang dan ketekunan dalam membangunkan perniagaan serta sumbangan kepada masyarakat.
Pengerusi KBEA 2026, Shahir Adnan berkata, KBEA bukan milik individu sebaliknya merupakan platform bersama untuk meraikan kecemerlangan, membina jaringan dan membuka lebih banyak peluang.
“KBEA bukan milik individu. KBEA adalah sebuah platform yang dibina bersama untuk meraikan kecemerlangan, membina jaringan, membuka peluang dan memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.
Selain penerima daripada kalangan selebriti dan pempengaruh, anugerah khas turut diberikan kepada Hanifat Harun bagi kategori Women Leadership & Community Icon serta Fahdi Ghazali, pengasas Funnel EVO.
Dalam kategori media pula, Malaysia Gazette, TV Kelantan, Molek FM dan IKIM FM turut menerima pengiktirafan atas sumbangan dalam bidang media dan penyampaian maklumat.
KBEA 2026 menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan kepada mereka yang memilih untuk berusaha, berani mengambil langkah pertama dan terus bertahan dalam menghadapi cabaran bagi membina kejayaan serta legasi masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
