Mujahid persoal ‘kompas moral’ UMNO, Pas dalam isu Najib

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mempersoalkan ‘kompas moral’ politik Melayu susulan sikap UMNO dan Pas yang menurutnya meraikan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu kemenangan.

Beliau berkata, beliau menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, namun sangat bimbang dengan sikap UMNO dan Pas yang meraikan keputusan berkenaan sebagai satu kemenangan.

“Apakah mesej yang cuba disampaikan oleh UMNO dan Pas?

“Najib bukan dibebaskan daripada sabitan. Beliau masih seorang yang telah disabitkan oleh mahkamah dalam kes SRC melibatkan RM42 juta,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mujahid berkata, Islam sangat keras dalam soal harta yang diperoleh secara batil, sambil memetik firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.”

Beliau berkata, sebab itu beliau bertanya kepada UMNO dan Pas di mana maruah apabila sabitan kesalahan seperti ini tidak lagi menjadi perkara yang memalukan, tetapi disambut dengan kemenangan, iaitu kemenangan meraikan seorang yang sabit kesalahannya di mahkamah.

Mujahid turut memetik kata-kata Plato: “In a state where corruption is normalized, the greatest crimes become the greatest honors, and the laws are used merely as tools to punish the innocent.”

Beliau menterjemahkannya sebagai: “Dalam negara yang menormalisasikan kefasadan atau rasuah, jenayah yang besar menjadi satu kebanggaan manakala undang-undang hanyalah alat untuk menghukum rakyat bawahan.”

Lebih membimbangkan, katanya, apabila UMNO mula mengutip wang ahli untuk membantu pesalah membayar denda RM50 juta.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan kutipan membantu orang miskin atau orang yang ditimpa musibah. Ini kutipan untuk membantu seorang bekas Perdana Menteri yang didapati bersalah daripada sabitan mahkamah,” katanya.

Mujahid berkata, Islam tidak mengajar solidariti pada kejahatan dan dosa, syarat bersolidariti hanyalah ke arah kebaikan dan ketakwaan.

Beliau turut memetik firman ALLAH SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Bertolong-tolonganlah dalam kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong-tolongan dalam dosa dan permusuhan.”

Mujahid berkata, UMNO dan Pas perlu membezakan antara menghormati keputusan Raja dengan meraikan seorang pemimpin yang sabitannya masih kekal.

“Bangsa Melayu yang bermaruah tidak mungkin bersama UMNO dan Pas dalam sikap mereka terhadap seorang yang sabit jenayahnya kerana orang Melayu ada harga diri dan maruahnya,” katanya.

Beliau berkata, kalau politik Islam dan politik Melayu kehilangan keberanian moral untuk menyatakan sikap tegas kepada perasuah negara yang sabit kesalahannya, maka UMNO dan Pas tidak mampu lagi melindungi maruah Melayu dan maruah umat.

“Persoalannya ialah apa sudah jadi kepada kompas moral politik orang Melayu kita?

“Tiba masanya orang Melayu membuat keputusan penting perihal maruah mereka, jangan biarkan maruah Melayu diperwakilkan kepada mereka yang menormalisasikan jenayah, kelak generasi hadapan akan menganggap jenayah rasuah adalah satu keperwiraan bagi orang-orang Melayu,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!