Sangat bimbang anak terdedah bahaya online

Dapatan tinjauan pembaca Sinar Harian di beberapa platform media sosial.
Dapatan tinjauan pembaca Sinar Harian di beberapa platform media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti pengguna media sosial sangat bimbang terhadap risiko yang mungkin dihadapi kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan berbahaya, buli siber, aktiviti grooming (antun seksual), penipuan dan penggunaan media sosial secara berlebihan.

Kebimbangan itu jelas berdasarkan hasil tinjauan menerusi undian secara dalam talian dijalankan Sinar Harian di beberapa platform media sosial iaitu Facebook, Instagram, X, YouTube dan Threads.

Menerusi undian di YouTube, Facebook, Instagram, X dan Threads, kesemuanya 395 responden merasakan sangat bimbang terhadap risiko dan ancaman yang dihadapi kanak-kanak di media sosial.

Majoriti responden di kesemua lima platform itu turut mengakui mereka merupakan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak bawah 18 tahun, sekali gus memberi gambaran isu keselamatan anak di media sosial menjadi perhatian utama golongan tersebut.

Di Threads, peratusan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak bawah 18 tahun adalah paling tinggi iaitu 89 peratus, diikuti X sebanyak 71 peratus, manakala Facebook dan Instagram masing-masing merekodkan 62 peratus.

YouTube pula mencatatkan 54 peratus responden merupakan ibu bapa atau penjaga, berbanding 41 peratus yang bukan ibu bapa atau penjaga.

Kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak di media sosial itu turut diterjemahkan menerusi pandangan responden mengenai usia yang wajar untuk seseorang mengurus akaun media sosial secara kendiri.

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati majoriti responden di tiga daripada lima platform menunjukkan kecenderungan memilih 18 tahun sebagai umur minimum yang wajar.

Secara keseluruhannya, dapatan itu memperlihatkan kecenderungan responden supaya kanak-kanak tidak diberikan kebebasan mengurus media sosial pada usia terlalu muda, dengan 16 dan 18 tahun menjadi pilihan utama.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pengguna turut melihat platform media sosial perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan persekitaran digital yang lebih selamat, khususnya bagi golongan yang mudah terdedah kepada kemudaratan dalam talian.

Hasil dapatan daripada undian Sinar Harian menunjukkan sokongan yang sangat tinggi terhadap keperluan memperkenalkan langkah keselamatan tambahan, dengan kesemua responden di Instagram dan Threads menyatakan sokongan penuh.

Justeru, perlindungan kanak-kanak di alam maya dilihat memerlukan pendekatan menyeluruh, bukan sahaja bergantung kepada pemantauan ibu bapa, tetapi turut menuntut komitmen dan tindakan lebih berkesan daripada platform media sosial.

Malah Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam satu laporan akhbar baru-baru ini mendedahkan Facebook merupakan platform paling ‘berdosa’ kepada rakyat Malaysia.

Jelas beliau, platform itu didapati mempunyai kandungan perjudian dalam talian dan penipuan yang paling tinggi iaitu masing-masing sebanyak 78 peratus dan 53 peratus.

Ekoran itu, kerajaan telah meminta platform terbabit untuk menurunkan 436,661 kandungan 'berdosa' bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!