Temui semula cincin kahwin selepas tiga tahun hilang

Foto kiriman Coconuts pada ruangan Facebook.
Foto kiriman Coconuts pada ruangan Facebook.
A
A
A

FORT LAUDERDALE - Seorang wanita di New York berjaya menemui semula cincin perkahwinannya yang hilang sejak tiga tahun lalu di sebuah restoran makanan laut Coconuts yang terletak di Florida Selatan.

Wanita yang dikenali dengan nama Lisa menemui semula cincinnya selepas melihat gambar cincin itu di laman sosial Facebook milik restoran berkenaan.

Pengurus pemasaran Coconuts, Saha Formica berkata, cincin itu ditemui pekerjanya ketika mereka melakukan kerja-kerja pembersihan di restoran itu pada musim bunga.

"Cincin yang ada tulisan ‘Mike&Lisa 08-21-15’ pada bahagian dalam ditemui di bawah geladak restoran.

"Selepas itu, kami memuatnaik gambar cincin itu di Facebook bagi mencari pemiliknya," katanya.

Menurutnya, selepas gambar itu dikongsi lebih 5,000 orang, pihaknya menerima panggilan daripada Lisa.

"Bagi membuktikan cincin itu miliknya, Lisa menghantar beberapa gambar dia dan suaminya yang memakai cincin berkenaan.

"Lisa juga menceritakan bahawa cincin itu terjatuh ketika dia dan suaminya menyambut ulang tahun kelahirannya pada tahun 2017," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Lisa berkata, dia tidak menyangka akan menemui cincinnya itu.

“Kami menganggap ia telah hilang selama-lamanya,” katanya.