NSFC temui semula sentuhan kemenangan di Paroi

Safuwan wira Negeri Sembilan apabila meledak gol kemenangan ketika menjinakkan KL City 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada Ahad. - FOTO: MFL
Safuwan wira Negeri Sembilan apabila meledak gol kemenangan ketika menjinakkan KL City 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada Ahad. - FOTO: MFL
A
A
A

NEGERI Sembilan FC (NSFC) menamatkan kemarau empat perlawanan Liga Super tanpa kemenangan apabila menjinakkan Kuala Lumpur City FC, 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.

Anak buah K Devan dan Bojan Hodak tampil dengan misi memperbaiki kedudukan liga bermula agresif, namun tindakan penyudah gagal menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk gol.

Kedua-dua pasukan akhirnya terpaksa berpuas hati menuju ke bilik persalinan dengan keputusan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, skuad Rusa dan The City Boys kembali memperkemaskan permainan masing-masing.

Tuan rumah akhirnya terlebih dulu menemui jaringan hasil sentuhan penyudah kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-73.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila KL City kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain gantian, Zhafri Yahya.

Jaringan terhasil selepas Zhafri menanduk sepakan percuma Paulo Josue untuk gol penyamaan untuk kedudukan 1-1.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, Safuwan Baharudin muncul wira skuad Hoben Jang Hoben apabila meledak jaringan kemenangan tuan rumah dengan gol minit ke-87.

Keputusan di Paroi memperbaiki kedudukan Negeri Sembilan yang kini berada di tangga kesembilan dengan 13 mata manakala KL City kekal keenam - 15 mata selepas masing-masing melengkapkan perlawanan ke-10 liga.

Sebagai rekod, perlawanan merupakan aksi tertunda berikutan cuaca buruk dan keadaan padang di laman keramat skuad Hoben Jang Hoben yang ditakungi air pada Mac lalu.