Rumah strata sepatutnya aset, bukan 'perangkap' - Amirudin

KLANG - Kediaman strata sepatutnya menjadi aset yang meningkatkan kualiti hidup pemilik, bukannya bertukar menjadi 'perangkap' akibat masalah hak milik, kemudahan asas dan pengurusan yang berlarutan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mahu memastikan pemilik kediaman strata tidak terus dibebani masalah berpunca daripada isu lama termasuk kegagalan pemaju menyelesaikan urusan hak milik.
Menurutnya, terdapat pemaju yang terlibat dalam projek terdahulu sudah gulung tikar atau tidak lagi mengambil tanggungjawab menyebabkan urusan pemilikan strata tertangguh sehingga memberi kesan kepada pemilik rumah.

"Kadang-kadang kediaman itu sepatutnya mengubah kehidupan mereka, tetapi menjadi satu perangkap yang kadang-kadang kita tidak inginkan.
"Selain isu infrastruktur, utiliti dan kemudahan asas, kita juga lihat kepada jaringan komuniti serta isu pemilikan strata atau pemilikan tanah atas nama masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor 2026 di sini pada Khamis.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri sebelum ini menyediakan peruntukan kira-kira RM10 juta hingga RM20 juta dalam tempoh dua tahun bagi membantu menyelesaikan isu hak milik strata yang tertunggak.
Beliau memberitahu, penyelesaian itu bukan sekadar membabitkan kelulusan pelan bangunan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat tanah atau bayaran cukai tanah, sebaliknya turut memerlukan pengumpulan dan pengemaskinian maklumat pemilik.
"Bayangkan satu-satu rumah strata mempunyai lebih 200 unit, kadang-kadang ribuan dan kita terpaksa mengambil tempoh panjang dalam pengisian data serta maklumat.
"Kita memerlukan proses lebih luas kerana perlu melakukan beberapa langkah yang tertinggal daripada masa lalu," tambah beliau.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri mahu memperkasakan Program Ceria yang dilaksanakan sejak 2009 bagi meningkatkan kualiti perumahan dan kehidupan penduduk strata.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut merancang meningkatkan peruntukan program itu tahun depan bagi membolehkan lebih banyak kawasan perumahan strata menerima sokongan.
"Kalau kita ada kaedah penyelesaian lebih baik, Insya-Allah tahun depan kita sedia menaikkan dana Ceria kerana kita ingin pastikan ia dapat membantu lebih banyak kawasan perumahan dan sokongan kepada perumahan strata, apartment dan flat yang masih memerlukan sokongan berterusan," jelas beliau.
Amirudin memberitahu, antara perkara asas yang perlu diberi perhatian termasuk keadaan lif, kutipan sampah, bekalan air dan kemudahan asas lain, selain membina jaringan komuniti lebih baik dalam kalangan penduduk.
Menurutnya, penyelesaian isu strata juga memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri, PBT, pejabat tanah, badan pengurusan bersama (JMB) dan komuniti penduduk.
"Kalau semua bekerjasama sudah tentu ia dapat dijalankan dengan cepat dan pantas kerana masing-masing mahu menyelesaikan masalah bersama-sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

