Kesihatan gajah DAK membimbangkan: MPT, NRES digesa bertindak

Kebimbangan kini tertumpu kepada salah seekor gajah jantan berkenaan, Kelat yang didakwa kelihatan semakin kurus.
Kebimbangan kini tertumpu kepada salah seekor gajah jantan berkenaan, Kelat yang didakwa kelihatan semakin kurus.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) digesa segera mendedahkan laporan kesihatan berkala serta status kebajikan gajah jantan Asia, DAK yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.

Aktivis DAK, Noraini Abd Khalil Saferi berkata, laporan berkaitan kesihatan gajah berkenaan yang sebelum ini dijanjikan kepada umum perlu dikeluarkan secara berkala dan dinilai pakar veterinar berkecuali bagi memastikan ketelusan.

Menurutnya, kebimbangan kini tertumpu kepada salah seekor gajah jantan berkenaan, Kelat yang didakwa kelihatan semakin kurus dan mengalami penyusutan fizikal ketara.

“Lebih membimbangkan, Kelat kini diasingkan atas alasan mengalami fasa musth (turun minyak) beberapa kali dalam tempoh hanya sebulan.

“Fenomena musth yang didakwa berlaku secara berulang atau ‘on-off’ dalam tempoh sebulan adalah sesuatu yang tidak normal dan perlu diperjelaskan berdasarkan penilaian sains veterinar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noraini mendakwa, berdasarkan pengetahuan veterinar mengenai gajah Asia, gajah jantan yang sihat lazimnya mengalami fasa musth secara berkala, bukannya berulang kali dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, satu fasa musth juga boleh berlangsung selama beberapa minggu hingga beberapa bulan dan lazimnya melalui peringkat tertentu sebelum gajah kembali kepada keadaan normal.

“Keadaan Kelat yang didakwa mengalami fasa musth beberapa kali dalam sebulan menimbulkan persoalan sama ada ia masih melalui satu fasa musth yang panjang atau terdapat faktor kesihatan dan tekanan persekitaran lain yang menyebabkan pengasingan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Noraini turut menggesa NRES mengambil tindakan segera berhubung kebajikan gajah berkenaan dan menunaikan komitmen yang dinyatakan dalam sidang media khas pada 29 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam kenyataan tersebut, Menteri NRES dilaporkan menyatakan bahawa kerajaan bersedia membawa pulang gajah berkenaan sekiranya terbukti berlaku pengabaian terhadap kebajikan DAK.

“Bukti pengabaian kebajikan DAK kini semakin nyata hari demi hari. DAK mesti dibawa pulang secepat mungkin seperti yang telah dijanjikan NRES.

“Kami menggesa MPT membatalkan serta-merta perjanjian penempatan itu dan merujuk semula exit clause atau klausa penamatan dalam kontrak bagi memulakan proses pemulangan rasmi,” katanya.

Noraini menegaskan kebajikan gajah berkenaan tidak seharusnya dikompromi atas alasan diplomatik atau birokrasi.

Beliau turut meminta pihak berkuasa memastikan sebarang keputusan berkaitan penempatan DAK dibuat berdasarkan kepentingan kebajikan haiwan serta penilaian veterinar yang telus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!