4 kilang musnah 90 peratus dalam kebakaran

PUCHONG – Empat buah kilang musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Puchong di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.34 pagi.
"Seramai 33 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak serta bantuan BBP bantuan BBP Subang Jaya, BBP Penchala, BBP Petaling Jaya, BBP Seri Kembangan dan BBP Cyberjaya bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh lapan kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ashrul Riezal berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 6.45 pagi, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan empat kilang iaitu kilang tayar, perkakasan paip dan injap, perabot serta kejuruteraan.

"Anggaran kemusnahan bagi keempat-empat premis berkenaan adalah kira-kira 90 peratus," katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.30 pagi, namun kerja-kerja pemadaman di bahagian bumbung dan dalam kilang masih giat dijalankan.

"Risiko runtuhan bumbung dan struktur bangunan masih ada, manakala api berjaya dikawal," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
