100,904 pegawai, anggota ATM isytihar harta

KUALA LUMPUR - Seramai 100,904 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengisytiharkan harta bagi memastikan tahap tatakelola dan integriti di dalam pasukan berada pada tahap tertinggi.
Langkah positif berkenaan dilaksanakan susulan kontroversi rasuah melibatkan pegawai kanan pasukan pertahanan itu sejak penghujung tahun lalu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, pengisytiharan harta telah mencapai 97.53 peratus.
Menurutnya, selain itu, pegawai atau anggota yang memegang jawatan berisiko tinggi termasuk dalam perolehan, spesifikasi teknikal bagi pembelian peralatan dan pengurusan kewangan akan dipantau lebih dekat.
"Saya sendiri sudah isytihar semula harta selepas dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera berikutan perubahan gaji.
"Kita telah meletakkan asas yang kukuh melalui penguatkuasaan Pelan Tindakan Pembanterasan Rasuah ATM 2026-2030 dan pembangunan Pelan Integriti dan Antirasuah.
"Selain itu, instrumen pengurusan risiko dan pencegahan rasuah turut diperkasa, termasuk melalui pelaksanaan Corruption Risk Management (CRM) ATM," katanya dalam sesi temubual sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, selain itu, bagi memastikan kelangsungan tadbir urus yang telus serta mencegah sebarang ruang kelemahan yang boleh mendedahkan kepada risiko ketirisan atau salah laku, ATM turut melaksanakan inisiatif penggiliran penugasan (job rotation) secara berkala setiap 18 bulan khususnya bagi jawatan-jawatan kritikal yang berisiko tinggi.
Tambahnya, daripada segi mekanisme semak dan imbang, ATM secara tegas melaksanakan Audit Pengurusan Standard ATM (SATM) serta siri audit tidak terjangka.
"Langkah ini amat kritikal bagi memastikan setiap urusan tadbir urus yang melibatkan aset, kewangan, keselamatan dan sumber manusia sentiasa telus dan mematuhi peraturan yang ditetapkan, di mana setiap penemuan audit mesti disusuli dengan tindakan korektif dan penambahbaikan serta-merta.
"Di samping penambahbaikan sistem, pembentukan integriti individu juga diperteguhkan dan diterjemahkan kepada hasil yang nyata," ujarnya.
Malek berkata, sehingga kini, seramai 105,536 pegawai dan anggota yang mewakili 98.7 peratus daripada keseluruhan warga aktif telah menyempurnakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah.
Katanya lagi, pengisytiharan harta diberi perhatian yang amat serius sebagai manifestasi sebenar nilai kejujuran dan amanah.
Jelas beliau, untuk membina benteng moral dan ketahanan rohani warga ATM, ATM merangka dan melaksanakan Modul Pembinaan Jiwa yang dikenali sebagai '3T', iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli.
"Modul ini telah melalui proses pembangunan, penulisan, serta latihan jurulatih yang teliti dan kini diterapkan sepenuhnya dalam program pengukuhan serta pembangunan kerohanian warga ATM.
"Bagi menyokong kesejahteraan ini secara holistik, kita juga telah memperkaya sistem sokongan kerohanian menerusi penubuhan Bahagian Kerohanian Islam ATM dan pengoperasian Pusat Sulh Mediasi ATM," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
