[VIDEO] 'Tak apa abang okey mama, orang Palestin lagi teruk'
MELAKA: “Tak apa abang okey mama. Orang Palestin teruk lagi daripada abang.”
Itu luahan Muhammad Harraz Danial Mohamad Hairul Helmi, 10, kepada ibunya, Nurul Zakiah Mohd Suib, 37, selepas kehilangan kaki kanan akibat kemalangan di Jempol, Negeri Sembilan pada Februari tahun lalu.

Nurul Zakiah berkata,anak sulung daripada dua beradik itu mengambil masa hampir tiga bulan untuk menerima perubahan dalam hidupnya, namun kini semakin positif selepas menjalani fisioterapi dan kaunseling.
Menurutnya, pada awalnya Harraz sering menangis dan mempersoalkan mengapa dirinya diuji sedemikian rupa, sedangkan dua sepupunya yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan lebih ringan.
“Memang susah untuk kami terima, apatah lagi empunya badan. Sampai sekarang pun masih dalam proses untuk menerima keadaan ini.
“Dulu dia selalu tanya, ‘kenapa ALLAH uji abang macam ini? Kenapa orang lain okey, abang tak okey? Kenapa dua orang itu lagi okey, abang kaki dah tak ada?" ceritanya kepada Sinar Harian.

Menurut jururawat itu, Harraz ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar Seremban selama seminggu sebelum dirawat di wad biasa selama dua hingga tiga minggu.
Ujarnya, lebih sebulan anaknya berada di hospital dan menggunakan tongkat lebih setahun sebelum mendapat kaki palsu.
Mengimbas kejadian, Nurul Zakiah berkata, kemalangan berlaku ketika Harraz membonceng motosikal bersama dua sepupunya selepas mereka pulang ke kampung di Jempol bagi menghadiri kenduri.
“Mereka berlanggar dengan sebuah Toyota Hilux. Bila sampai hospital, keadaan kaki kanan Harraz memang teruk dan doktor terpaksa memotongnya hingga bawah lutut.
“Selain itu, ada besi dipasang pada bahagian pahanya,” katanya.
Dua sepupunya turut mengalami kecederaan dengan seorang berusia 11 tahun mengalami kecederaan dalaman organ perut dan dirawat di ICU selama kira-kira tiga bulan, manakala seorang lagi berusia 18 tahun mengalami kecederaan pada kepala.
Nurul Zakiah berkata, sepanjang tempoh rawatan, dia terpaksa mengambil cuti bagi menjaga Harraz yang hampir empat bulan tidak bersekolah.
Katanya, sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan selain sesi kaunseling banyak membantu Harraz menerima keadaan dirinya.
“Selepas kaunseling, saya nampak dia sudah pandai mengalihkan perhatian apabila sedih. Kalau hendak menangis pun dia akan ambil bantal dan peluk.
“Kalau dia diam dan murung, kita tahu dia sedang bersedih, tetapi sekarang dia semakin positif,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah turut memberi sokongan penuh kepada Harraz sehingga dia tidak berasa rendah diri atau dipulaukan rakan.
“Pada mulanya saya mahu cari sekolah yang sesuai untuk kanak-kanak OKU kerana takut dia rendah diri.
“Tetapi apabila melihat dia seronok di sekolah, kawan-kawan membantu menolak kerusi roda dan guru mengambil berat, saya teruskan dia di situ. Kawan-kawan tidak pernah mengejek, malah sentiasa membantu,” katanya.

Nurul Zakiah berkata, kaki palsu Harraz berharga kira-kira RM2,800 dan diterima pada Julai lalu selepas lebih setahun bergantung kepada tongkat.
Sementara itu, Harraz berkata, dia kini sudah dapat menyesuaikan diri dengan kaki palsunya dan menganggap dirinya seperti kanak-kanak lain.
“Kalau orang pandang pun saya okey. Saya normal-normal sahaja. Terima kasih kepada kawan-kawan yang selalu tolong saya, angkat beg dan kerusi.
“Nasihat saya, kalau naik motosikal, berhati-hatilah dan pakai topi keledar,” katanya.
Harraz yang menyimpan impian untuk menjadi usahawan dan penceramah apabila dewasa itu berkata, kekurangan fizikal bukan penghalang untuknya mencapai cita-cita.
“Saya juga nak jadi angkasawan tengok ruang angkasa. Saya juga nak belajar di luar negara.
“Kalau orang kata saya serba kekurangan, tak apa. Bagi saya, saya okey,” katanya.
Terdahulu ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin hadir menyampaikan bantuan dan menyantuni Harraz di Taman Seri Bertam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

