Duduk tenang atas landasan, dua sahabat maut dirempuh tren

Klip diambil orang awam menunjukkan tiada berlaku pertengkaran antara mereka dan kedua-duanya kelihatan tenang sambil bergurau ketika duduk di atas landasan tersebut. - FOTO: Agensi
Klip diambil orang awam menunjukkan tiada berlaku pertengkaran antara mereka dan kedua-duanya kelihatan tenang sambil bergurau ketika duduk di atas landasan tersebut. - FOTO: Agensi
A
A
A

NEW YORK - Tular rakaman dua rakan maut dilanggar tren dalam kejadian menggemparkan di Lower Manhattan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Warga India, Malaika Chitre dan rakyat Amerika-Nepal Navam Kaul, masing-masing berusia 24 tahun dirakamkan berada di atas landasan di stesen Spring Street sebelum dirempuh kereta api laluan No 4 yang menuju ke selatan kira-kira jam 3.15 pagi (waktu tempatan) pada Ahad lalu.

Klip diambil orang awam menunjukkan tiada berlaku pertengkaran antara mereka dan kedua-duanya kelihatan tenang sambil bergurau ketika duduk di atas landasan tersebut.

The New York Post melaporkan pemandu tren itu memberitahu penyelianya bahawa dia cuba mengaktifkan brek kecemasan sejurus melihat kedua-dua mangsa, namun gagal menghentikan kereta api tepat pada masanya. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kira-kira 100 penumpang kereta api turut dipindahkan selepas insiden tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan detektif sedang menyiasat jika terdapat kemungkinan kedua-duanya berada di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang sehingga gagal menyedari bahaya yang dihadapi sebelum terlambat.

Menurut profil LinkedIn mereka, Chitre bekerja sebagai pakar operasi di Acadia Pharmaceuticals manakala Kaul merupakan penganalisis data kewangan di Bloomberg.

Kedua-duanya merupakan alumni Universiti Rutgers dan menamatkan pengajian pada tempoh yang hampir sama. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!