Tambah kerusi Parlimen seluruh negara

KEPUTUSAN kerajaan untuk meningkatkan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak wajar diteruskan, namun proses itu tidak sepatutnya berlaku secara terpisah daripada keperluan menilai semula kawasan Parlimen di Semenanjung yang sudah terlalu besar dari segi jumlah pengundi.
Oleh demikian, sebaik pintu perubahan ini sudah dibuka, biarlah ia dilakukan secara menyeluruh dan serentak.
Sabah dan Sarawak mempunyai asas tersendiri berkaitan kedudukan serta nisbah perwakilan dalam Persekutuan.
Di Semenanjung pula, terdapat kawasan yang jumlah pemilihnya sudah terlalu besar dan patut diberi keutamaan untuk dipecahkan bagi mewujudkan kerusi baharu.
Data daftar pemilih setakat Disember 2025 menunjukkan Bangi mempunyai 335,851 pemilih, Kota Raja (271,202), Damansara (250,142), Subang (249,746), Gombak (218,126), Klang (216,091) dan Kapar (203,721).
Keadaan sama berlaku di Johor apabila Tebrau mencatat 244,207 pemilih, Iskandar Puteri (237,827), Pasir Gudang (210,470), Pulai (173,323), Kulai (160,073) manakala Johor Bahru (136,678).
Sebuah kawasan menghampiri atau melepasi suku juta pemilih, isu pemecahan kerusi bukan lagi sekadar soal sempadan tetapi kemampuan seorang Ahli Parlimen mewakili rakyat dan memberikan perkhidmatan secara berkesan.
Memang jumlah 100,000 pemilih bukan ambang undang-undang yang secara automatik mewajibkan sesebuah kawasan dipecahkan.
Selain itu, pandangan pembangkang bahawa pertambahan kerusi juga perlu melibatkan Semenanjung termasuk Pantai Timur, wajar dibincangkan.
Namun, penentuan kerusi baharu tidak boleh dibuat semata-mata atas label Pantai Timur, Pantai Barat atau ‘Malay belt’ sebaliknya berpandukan data pemilih dan keperluan representasi.
Pada masa sama, pertambahan kerusi Semenanjung tidak boleh menyebabkan matlamat meningkatkan nisbah Sabah dan Sarawak terbantut.
Inilah sebab rundingan semua parti menjadi penting kerana pindaan Perkara 46 bagi menambah jumlah kerusi Parlimen memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
