Atlet tercirit ketika bertanding akhirnya muncul juara

BEIJING – Seorang atlet wanita yang tercirit ketika menyertai pertandingan HYROX mencetuskan perdebatan mengenai semangat kesukanan, keselamatan dan kebersihan dalam acara berkenaan.
Insiden itu berlaku ketika acara itu berlangsung di Beijing pada Sabtu lalu apabila atlet Australia, Joanna Wietrzyk yang bertanding dalam kategori elit wanita dilaporkan mengalami masalah kawalan usus ketika perlumbaan.
Rakaman dan foto insiden menunjukkan kesan najis pada beberapa bahagian tubuh atlet berkenaan turut tular di media sosial. Wietrzyk bagaimanapun tetap menyelesaikan baki acara yang berlangsung hampir sejam.
Menurut laporan media, atlet berkenaan menamatkan perlumbaan dalam tempoh satu jam dan 83 saat dan muncul juara kategori elit wanita.
HYROX merupakan acara kecergasan berintensiti tinggi yang menggabungkan larian dengan beberapa acara lain. Keadaan itu menyebabkan kebimbangan dalam kalangan peserta dan pengguna media sosial berhubung kemungkinan peralatan dan kawasan pertandingan yang turut digunakan atlet lain 'tercemar' dengan sisa najis.
Menurut laporan media tempatan, kesan najis didakwa terdapat pada beberapa bahagian laluan dan peralatan yang digunakan peserta selepas insiden tersebut.
HYROX China bagaimanapun mengeluarkan kenyataan berhubung isu kebersihan berkenaan dan mendakwa kawasan terjejas serta laluan berkaitan segera ditutup untuk proses pembasmian kuman secara menyeluruh.
Pihak penganjur turut mengeluarkan peralatan tercemar manakala bahan buangan dilupuskan mengikut prosedur pengurusan sisa bandar.
Selepas semua acara berakhir, karpet di kawasan pertandingan turut digantikan dan keseluruhan lokasi menjalani proses sanitasi secara menyeluruh.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi warganet. Ada yang memuji ketahanan dan keazaman Wietrzyk kerana terus beraksi walaupun berdepan situasi memalukan manakala sebahagian lain mempersoalkan keputusan penganjur yang membenarkannya meneruskan perlumbaan atas faktor kebersihan serta potensi risiko kepada peserta lain.
Wietrzyk kemudian berkongsi respons ringkas selepas perlumbaan, dengan ungkapan 'a win is a win' yang turut mencetuskan perbincangan mengenai keputusannya untuk meneruskan pertandingan sehingga tamat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

