Keletihan Terengganu bukan salah jadual MFL

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menegaskan kenyataannya mengenai keletihan pemain selepas perlawanan Liga Super menentang Star City FC di Kangar, Sabtu lalu, tidak ditujukan kepada penjadualan pertandingan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sebaliknya, beliau menjelaskan, keletihan yang dialami skuad Penyu berpunca daripada perjalanan tambahan ke Brunei selepas perlawanan Piala FA menentang DPMM FC terpaksa ditunda akibat jerebu.

Nafuzi berkata, pada asalnya Terengganu dijadualkan mengharungi dua perlawanan di tempat sendiri sebelum berkunjung ke Perlis, iaitu menentang Penang FC dalam Liga Super dan DPMM bagi aksi kedua Pusingan 16 Piala FA.

Namun, penundaan perlawanan menentang DPMM menyebabkan Terengganu perlu kembali ke Brunei bagi menyelesaikan aksi tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke Perlis.

“Apa yang saya maksudkan ialah pasukan saya, bukan penjadualan Liga Malaysia. Pemain memang penat kerana perjalanan, terutama apabila perlawanan Piala FA menentang DPMM terpaksa ditunda kerana jerebu dan kami perlu ke Brunei sekali lagi.

“Pada asalnya, kami sepatutnya bermain dua perlawanan di tempat sendiri sebelum ke Perlis, iaitu menentang Penang dan DPMM bagi perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA.

“Namun, apabila perlawanan menentang DPMM ditunda, kami terpaksa melakukan perjalanan ke Brunei sekali lagi.

Selepas itu, kami perlu meneruskan perjalanan ke Perlis untuk perlawanan Liga Super.

“Jadi, itulah yang saya maksudkan apabila saya menyebut pemain penat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nafuzi pada masa sama memahami keperluan menyelesaikan aksi Pusingan 16 Piala FA dalam tempoh ditetapkan, memandangkan perlawanan pertama suku akhir kejohanan itu akan berlangsung sebelum rehat Kalendar FIFA.

Menurutnya, situasi berkenaan tercetus akibat penundaan perlawanan susulan jerebu yang berada di luar kawalan pihak terlibat.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah dengan melakukan penggiliran pemain untuk mempersiapkan pasukan,” katanya.

Beliau menegaskan, perjalanan tambahan berkenaan menjadi faktor utama yang memberi kesan kepada tahap kecergasan pemain Terengganu dan bukannya tanda ketidakpuasan hati terhadap jadual pertandingan yang dikeluarkan MFL.

“Saya faham dalam bola sepak, perjalanan dan jadual yang padat adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pasukan.

“Dalam kes kami, keadaan menjadi lebih mencabar kerana perlawanan Piala FA terpaksa ditunda atas faktor jerebu yang sememangnya di luar kawalan mana-mana pihak.

“Apabila perlawanan itu dijadualkan semula, kami perlu melakukan perjalanan ke Brunei sekali lagi dan selepas itu terus membuat persiapan untuk perlawanan di Perlis.

“Jadi, saya ingin jelaskan bahawa saya tidak mengkritik atau mempertikaikan penjadualan yang dikeluarkan oleh MFL. Saya hanya menjelaskan keadaan fizikal pemain Terengganu selepas melalui perjalanan tersebut,” katanya.

Nafuzi berkata, fokus skuad Penyu kini adalah memastikan proses pemulihan pemain diuruskan sebaik mungkin bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus mengakui penyediaan jadual pertandingan bukan tugas mudah kerana pelbagai aspek perlu dipertimbangkan penganjur.

Katanya, faktor seperti pertindihan pertandingan, perjalanan pasukan, penggunaan venue dan perkara di luar kawalan perlu diambil kira bagi memastikan perjalanan liga dapat dilaksanakan.

“Bagi kami, penyediaan jadual bukan satu perkara yang mudah kerana ia perlu mengambil kira pelbagai pertandingan, perjalanan pasukan, penggunaan venue serta perkara-perkara di luar kawalan penganjur.

“Apa yang penting bagi kami adalah komunikasi. Parameter berkaitan jadual dan tempoh rehat telah dimaklumkan kepada kelab lebih awal, jadi kami dapat membuat perancangan sebaik mungkin dari sudut teknikal dan operasi,” katanya.

Faliq bagaimanapun mengakui setiap kelab mempunyai cabaran tersendiri apabila berdepan jadual padat, terutama dalam aspek pemulihan pemain.

“Jadi, saya rasa kebimbangan dari sudut teknikal itu juga sesuatu yang wajar didengari.

“Secara keseluruhannya, kami menghargai usaha MFL menguruskan jadual dalam keadaan yang cukup kompleks. Sudah tentu sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan dan saya percaya perkara itu boleh terus dibincangkan bersama kelab demi kepentingan liga secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Penang, Jeffery Chew Gim Eam berkata, faktor cuaca tidak menentu khususnya jerebu menjadi kebimbangan utama pasukannya, terutama apabila melibatkan perjalanan jauh.

Katanya, situasi itu boleh menjejaskan perancangan pasukan selain memberi implikasi terhadap kos perjalanan sekiranya berlaku perubahan pada jadual penerbangan.

“Untuk pasukan Penang, kami hanya bimbang mengenai cuaca yang tidak menentu, khususnya berkaitan jerebu.

“Bila melibatkan perjalanan jauh seperti ke Kuching, perkara ini menjadi satu isu yang kami bincangkan bersama pasukan-pasukan lain memandangkan kos tiket juga agak tinggi.

“Jika pasukan sudah berada di sana dan keadaan jerebu tiba-tiba menjadi buruk, ia boleh memberi kesan kepada perjalanan dan perancangan pasukan,” katanya.

Bagaimanapun, Jeffery berkata, tempoh rehat dua hari antara perlawanan masih boleh diterima dengan mengambil kira pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan dalam penyusunan jadual.

“Dari segi tempoh rehat dua hari, pada pandangan kami boleh terima memandangkan banyak faktor perlu kita lihat dalam penyusunan jadual itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!