Isu Rohingya: Jangan ambil tindakan sendiri - Polis

KOTA BHARU – Polis mengingatkan individu termasuk pempengaruh supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu Rohingya kerana dibimbangi mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan keamanan negara.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebaliknya maklumat seperti lokasi mereka perlu disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan mengikut undang-undang.
Menurut beliau, tindakan segelintir pihak yang kononnya terpaksa bertindak sendiri susulan dakwaan kelewatan pihak berkuasa boleh membawa implikasi negatif apabila dipengaruhi emosi.
“Dia tak boleh macam itu. Kita ada undang-undang, kita ada peraturan. Kalau macam itu semua orang akan mengambil tindakan sendiri yang menyebabkan implikasi negatif.
“Jika tindakan diambil oleh orang perseorangan macam pempengaruh, bimbang akan melampaui batas, tidak mengikut lunas-lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi Universiti Awam ke-22 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Isnin.
Mengulas tindakan menularkan lokasi yang didakwa menjadi penempatan komuniti Rohingya, Noor Hisam berkata, maklumat berkenaan wajar disalurkan terus kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan susulan diambil mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Kita pun tak tahu apa niat mereka membuat tular, sama ada nak suruh orang lain mengambil tindakan sendiri atau sebagainya.
“Lapor pada kami supaya tindakan susulan dapat diambil mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada termasuk bawah Imigresen atau pelbagai akta lain,” katanya.
Menurut beliau, pihak polis tidak mahu penyebaran maklumat berkaitan komuniti berkenaan mencetuskan provokasi atau menjejaskan keamanan awam.
“Kita lihat sekarang ini pun di media sosial banyak provokasi ataupun mesej-mesej yang negatif berkaitan Rohingya.
“Kita tidak mahu merosakkan keamanan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

