Perkelahan 9 sahabat bertukar tragedi, seorang lemas dihanyut arus deras

Operasi SAR digerakkan pada Ahad dengan bantuan anggota polis, JBPM serta APM sebelum mangsa ditemui pada Isnin. Foto: Polis Rompin.
Operasi SAR digerakkan pada Ahad dengan bantuan anggota polis, JBPM serta APM sebelum mangsa ditemui pada Isnin. Foto: Polis Rompin.
A
A
A

ROMPIN - Kegembiraan sembilan sahabat berkelah di Jeram Air Leleh, Bukit Ibam di sini pada Ahad bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras sebelum ditemukan lemas pada Isnin.

Mangsa dikenali Muhammad Azreen Othman, 25, ditemukan pada kedalaman 12 meter kira-kira enam meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan lelaki berkenaan kira-kira jam 5.40 petang pada Ahad.

Menurutnya, mangsa bersama tiga rakan lelaki dan lima rakan wanita tiba di lokasi berkenaan kira-kira jam 2 petang untuk berkelah dan mandi-manda.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa sedang mandi sambil bergayut pada tali yang diikat antara pokok melintasi anak sungai. Mangsa dikatakan terlepas memegang tali itu sebelum dibawa arus menuju ke jeram.

“Dua saksi wanita yang berada berhampiran sempat mencapai tangan mangsa, namun terlepas kerana licin, selain keadaan fizikal mangsa dan arus deras ketika kejadian.

“Mangsa juga dipercayai tidak pandai berenang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tali diikat merentasi sungai dari sebatang pokok ke tebing bertentangan yang dipercayai digunakan oleh mangsa untuk bergayut sebelum terlepas pegangan dan dihanyutkan arus deras. Foto: Polis Rompin.
Tali diikat merentasi sungai dari sebatang pokok ke tebing bertentangan yang dipercayai digunakan oleh mangsa untuk bergayut sebelum terlepas pegangan dan dihanyutkan arus deras. Foto: Polis Rompin.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan bantuan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut Sharif Shai, dua penyelam JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan menemukan mangsa kira-kira jam 8.50 pagi Isnin.

“Ini merupakan kes kematian kedua yang dilaporkan berlaku di lokasi kejadian tersebut.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa memberitahu, sejumlah 19 anggota dari BBP Muadzam Shah dan Pasukan Penyelamatan Dasar Air (PPDN) Bomba telah terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Jasad mangsa ditemui oleh penyelam Bomba pada kedalaman 12 meter, tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilihat. Foto: Polis Rompin.
Jasad mangsa ditemui oleh penyelam Bomba pada kedalaman 12 meter, tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilihat. Foto: Polis Rompin.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta memahami risiko kawasan rekreasi yang dikunjungi.

"Pastikan pengawasan ketat terhadap ahli keluarga ketika beriadah di kawasan rekreasi melibatkan air.

"Wajibkan guna jaket keselamatan bagi aktiviti sukan di air seperti naik bot atau mandi-manda di kawasan berarus," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!