Gara-gara bawa kopi dalam kelas, pelajar digantung sekolah

Julie mempersoalkan prosedur sekolah dalam memperkenalkan peraturan baharu itu. Foto: Agensi
Julie mempersoalkan prosedur sekolah dalam memperkenalkan peraturan baharu itu. Foto: Agensi
A
A
A

NEW YORK – Seorang pelajar sekolah menengah digantung sekolah hanya kerana membawa secawan kopi ke dalam kelas pada hari pertama persekolahannya.

Pelajar tahun akhir Beaver River Central School, Julie Kaputa dikenakan hukuman itu selepas melanggar peraturan baharu yang melarang pelajar membawa makanan dan minuman dari luar seperti dilaporkan The Mirror US.

Menurutnya, dia membawa kopi ketika hadir ke sekolah sebelum gurunya memintanya sama ada membuang minuman itu, menghabiskannya serta-merta atau pergi ke pejabat sekolah.

Julie kemudiannya digantung sekolah kerana melanggar peraturan baharu yang melarang pelajar membawa makanan dan minuman dari luar.

Peraturan berkenaan merupakan tambahan baharu dalam kod tatakelakuan sekolah bagi tahun ini dan diperkenalkan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran selamat serta bebas gangguan.

Bagaimanapun, Julie dan ibunya, MaryAnne Kaputa, mempersoalkan kesahihan pelaksanaan peraturan itu.

Mereka mendakwa pihak sekolah tidak mengadakan atau mengumumkan sesi pendengaran awam dengan sewajarnya sebelum peraturan baharu tersebut dikuatkuasakan.

Julie berkata dia tidak marah atau kecewa dengan pihak sekolah dan dimaklumkan bahawa penggantungan berkenaan tidak akan menjejaskan rekod kekalnya.

Sebaliknya, katanya, dia hanya mahu prosedur berkaitan pengenalan dan pelaksanaan peraturan baharu dipatuhi dengan betul.

Artikel Berkaitan:

MaryAnne berkata, anaknya mula mempersoalkan perkara itu selepas mengetahui kod tatakelakuan berkenaan menetapkan keperluan mengadakan pendengaran awam.

Sementara itu, Penguasa Sekolah Beaver River Central School, Todd Green, pada awalnya menganggap mesyuarat lembaga sekolah pada Ogos sebagai sesi pendengaran awam.

Bagaimanapun, selepas berbincang dengan Julie, Green mengakui sesi berkenaan tidak diumumkan dengan cara yang sepatutnya.

“Kami gembira melihat pelajar berani mempertahankan apa yang mereka percaya. Kami amat menghargainya. Perkara seperti ini sering tidak berlaku,” katanya.

Green berkata pihak sekolah akan melakukan pembetulan sekiranya terdapat perkara yang perlu diperbaiki, termasuk berkaitan pematuhan undang-undang mesyuarat terbuka.

Susulan itu, satu sesi pendengaran awam baharu dijadualkan berlangsung pada 14 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!