Kulit kepala terkoyak gara-gara rambut tersangkut 'Ferris Wheel'

Suasana di pesta berkenaan bertukar kecoh selepas kejadian itu. Foto: NDTV
Suasana di pesta berkenaan bertukar kecoh selepas kejadian itu. Foto: NDTV
A
A
A

MAHARASHTRA - Seorang wanita cedera parah selepas rambutnya tersangkut pada bahagian roda 'Ferris Wheel' ketika menaiki permainan itu di sebuah pesta di Yavatmal, Maharashtra, India pada Jumaat.

Dalam kejadian tersebut, sebahagian besar kulit kepala wanita berkenaan dilaporkan terkoyak selepas rambutnya ditarik dengan kuat ketika roda Ferris berkenaan berpusing pada kelajuan tinggi.

Wanita terbabit dikenal pasti sebagai Bali Maroti Talikote, 25, dari Phulsawangi yang hadir ke pesta sempena sambutan perayaan Tanha Pola di Mahagaon, daerah Yavatmal.

Pesta sehari yang diadakan mengikut tradisi tahunan itu turut dihadiri sejumlah besar wanita dan kanak-kanak dari kampung sekitar bagi mendapatkan keberkatan di Kuil Puneshwar Mahadev.

Menurut laporan NDTV, Talikote sedang menaiki roda Ferris apabila rambutnya tersangkut pada bahagian pemutar roda yang terletak di belakang tempat duduknya sebaik permainan itu mula bergerak.

Roda Ferris itu terus berpusing pada kelajuan tinggi sehingga menyebabkan rambut wanita berkenaan ditarik secara mengejut dan kuat.

Mangsa kemudian menjerit kesakitan apabila daya tarikan kuat itu menyebabkan sebahagian besar kulit kepalanya terkoyak.

Jeritan mangsa menarik perhatian pengunjung yang berada di lokasi kejadian sebelum keadaan menjadi kecoh selepas mereka melihat wanita berkenaan berlumuran darah.

Anggota polis yang ditempatkan di kawasan pesta segera bertindak bagi menghentikan permainan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Penolong Inspektor Polis Sunil Ambhure bersama Konstabel Polis Suhas Kayte tiba di lokasi dan dengan bantuan penduduk tempatan berjaya menghentikan roda Ferris yang masih berpusing.

Mangsa kemudiannya dikeluarkan dari permainan itu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!