Meja bulat 'panas’ skandal sami Thailand jadi sensasi

Meja yang menjadi tumpuan lensa petugas media selepas dirampas pihak berkuasa.
Meja yang menjadi tumpuan lensa petugas media selepas dirampas pihak berkuasa.
A
A
A

BANGKOK - Sebuah meja di sebuah kuil Buddha di Thailand menjadi bahan troll dan sindiran warganet selepas dikaitkan dengan skandal seks serta penyelewengan dana yang menggemparkan negara itu.

Meja di Kuil Phutthaisawan, Ayutthaya itu menjadi perhatian selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bekas sami kanan melakukan hubungan intim di atas meja tersebut tular di media sosial.

Pejabat Kebangsaan Buddha Thailand (NOB) kemudiannya meminta pihak berkuasa memusnahkan meja berkenaan kerana menganggapnya membawa malang dan tidak lagi sesuai ditempatkan di kawasan kuil diraja.

"Kami bimbang jika ia menyebabkan ketidakselesaan kepada pengunjung dan menjadi tumpuan orang ramai yang datang semata-mata mahu melihat meja tersebut," ujar NOB dalam satu kenyataan.

Polis merampas meja itu pada Khamis lalu ketika menjalankan siasatan lanjut terhadap bekas ketua sami, Phra Wachirayan Wi, 66, yang turut kini disiasat berhubung dakwaan menggelapkan dana kuil hingga menyebabkan kerugian berjumlah 92 juta baht (RM11.3 juta).

Seorang wanita warga tempatan berusia 47 tahun yang bekerja di kuil itu turut dikaitkan dengan dakwaan serupa dan dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan sami tersebut.

Skandal berkenaan turut memberi kesan kepada nilai azimat Buddha yang pernah dihasilkan oleh bekas sami tersebut termasuk azimat Nuea Duang yang dijual pada harga lebih tiga juta baht (RM370,000). - Agensi

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!