Penduduk terkesan gangguan bekalan air ketika PKP

Penduduk Lundang mengambil air dari salah satu tangki statik disediakan AKSB.
Penduduk Lundang mengambil air dari salah satu tangki statik disediakan AKSB.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 2,000 penduduk di sekitar Lundang yang terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air sejak beberapa tahun lalu mendakwa lebih terkesan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Dakwa penduduk, mereka tidak dapat membeli air dengan mudah di sekitar bandar memandangkan pelaksanaan PKP.

Selain mengambil keputusan membeli air di kedai, penduduk juga bergantung sepenuhnya dengan bekalan disediakan menerusi tangki statik dihantar oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Seorang peniaga santan, Mohd Safri Ibrahim berkata, gangguan bekalan air menjadi masalah utama penduduk di sini dan ia juga turut mengganggu perniagaannya.

“Air ada, tetapi perlahan, kita nak proses santan pun terganggu. Kalau keadaan ini berterusan sangat kasihanlah kami,” katanya ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Kamariah Mat Saman berkata, gangguan air bukan menjadi perkara baharu buat mereka.

Bagi peniaga kedai makan, Mohd Abdul Hadi Yunus pula memberitahu masalah air sering berulang di sini dan dua bulan sebelum PKP masalah sama kembali dirasai penduduk.

“Kami berterima kasih kepada AKSB sediakan air, tetapi kami juga perlu masing-masing berjimat. Satu tangki boleh bertahan untuk sehari.

Artikel Berkaitan:

“Waktu malam air mula masuk, tapi tidak banyaklah. Kami pun harap perkara ini mendapat perhatian pihak sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, AKSB dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa pihaknya menyedari permasalahan ketiadaan air terawat di kawasan Lundang ini dan sedang berusaha sebaik mungkin bagi penyediaan air.

Katanya, pada masa ini berlakunya penurunan bekalan air mentah di Loji Rawatan Air Kampung Puteh yang memerlukan sejumlah 46 juta liter sehari dan kini menurun kepada 43 juta liter sehari.

“Akibat pengurangan sumber ini, ia berlakunya pengurangan bekalan air terawat kepada banyak kawasan termasuk kawasan Lundang.

“Sehubungan itu, AKSB mengambil pendekatan dengan menyediakan beberapa tangki statik iaitu di Masjid Kg Lundang, Taman Melati dan belakang KBMC. Penghantaran air kerap dilakukan dengan menggunakan lori yang disediakan oleh AKSB,” katanya.

Selain itu, bagi jangka sederhana pula, AKSB kini melalui Jabatan Pengeluaran sedang giat menyelenggarakan semua telaga dan pam air di Loji Rawatan Air Kampung Puteh.