Hakim Danish pamer kebangkitan di Misano

PELUMBA Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli melakar kebangkitan mengagumkan apabila melonjak 13 anak tangga untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di tempat ke-12 di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli pada Ahad.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu memulakan perlumbaan dari petak ke-25 sebelum memperbaiki kedudukan secara berperingkat sepanjang 20 pusingan.
Hakim Danish, 19, pada asalnya dijadualkan bermula dari petak ke-18, namun dikenakan penalti turun tujuh petak susulan kesalahan menunggang perlahan di beberapa sektor ketika sesi Kelayakan 1 (Q1), semalam.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang pelumba kelahiran negara berkenaan daripada memberikan aksi agresif untuk memintas beberapa pesaing sehingga menamatkan perlumbaan dengan catatan 34 minit 05.048 saat.
Keputusan itu menyumbang empat mata kepada Hakim Danish, sekali gus membolehkannya mengumpul 94 mata dan kekal di tangga kelapan keseluruhan selepas 14 pusingan.
Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team pula meraih kemenangan selepas mencatat masa 33'42.713 saat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di persada kejuaraan.
Pelumba Sepanyol itu terpaksa bekerja keras sehingga pusingan terakhir sebelum menewaskan David Almansa daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP dengan kelebihan hanya 0.021 saat.
Brian Uriarte daripada Red Bull KTM Ajo melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan 33'44.056 saat.
Kemenangan itu menyaksikan Quiles menambah 25 mata untuk mengumpul 281 mata, manakala Almansa kini mempunyai 174 mata dan Angel Carpe daripada Red Bull KTM Ajo kekal di tempat ketiga dengan 159 mata.
Saingan Kejuaraan Dunia Moto3 selepas ini beralih ke GP Austria di Red Bull Ring, Spielberg dari 18 hingga 20 September ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
