Penyatuan Melayu-Islam teras kestabilan negara

PERKEMBANGAN politik mutakhir memperlihatkan sesuatu yang menarik apabila dua parti terbesar Melayu-Islam kembali membicarakan soal penyatuan.
Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 baru-baru ini menerima usul “Memperkasa Agenda Penyatuan Ummah Ke arah Pengukuhan Politik Melayu-Islam dan Kestabilan Negara”.
Beberapa hari selepas itu, dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026, Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyatakan bahawa UMNO tidak menutup ruang kepada kesatuan Melayu merentas parti dan ideologi, berasaskan kepentingan strategik politik Melayu-Islam.
Dua perkembangan ini menarik untuk diperhatikan. Bukan kerana kita mahu mendahului kemungkinan berlakunya sebarang kerjasama politik, tetapi kerana persoalan penyatuan Melayu-Islam kembali menjadi wacana penting.
Persoalannya, mengapa penyatuan ini penting kepada negara?
Dalam Islam, penyatuan umat bukan semata-mata strategi politik. ALLAH SWT memerintahkan umat Islam supaya berpegang teguh kepada agama-Nya secara bersama dan tidak bercerai-berai sebagaimana ditegaskan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103.
Islam dalam masa yang sama tidak menafikan perbezaan. Para ulama membezakan antara khilaf, iaitu perbezaan yang dibenarkan dalam perkara tertentu, dengan tafarruq, iaitu perpecahan yang memecahkan kesatuan umat.
Dalam politik juga begitu. Berbeza parti, pendekatan dan strategi merupakan lumrah. Penyatuan Melayu-Islam bukan bermaksud seluruh orang Melayu mesti berada di bawah satu parti.
Sebaliknya, perbezaan politik perlu diurus dengan kesedaran bahawa terdapat kepentingan yang lebih besar daripada kepentingan sesebuah parti.
Realiti demografi menjadikan persoalan ini lebih penting. Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen. Berdasarkan komposisi pengundi yang diteliti, 126 kerusi mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu, manakala sekitar 106 kerusi mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Melayu.
Angka ini menunjukkan kekuatan demografi Melayu-Islam yang besar dalam struktur politik Malaysia. Namun demografi yang besar tidak semestinya secara automatik menghasilkan kekuatan politik.
Parlimen Raub memberikan gambaran yang menarik. Dalam PRU15, sekitar 52.1 peratus pengundinya ialah Melayu. Namun kerusi tersebut dimenangi calon DAP, Chow Yu Hui dengan 21,613 undi, berbanding calon PN sebanyak 17,256 undi dan BN 16,939 undi.
Sudah tentu tidak tepat mengatakan semua undi PN dan BN ialah undi Melayu kerana pola pengundian lebih kompleks. Tetapi dalam sistem first-past-the-post, apabila BN dan PN bertembung dalam kawasan yang mempunyai kelompok pengundi Melayu yang besar, pecahan sokongan antara kedua-duanya boleh memberikan kelebihan kepada blok yang lain.
Bentong memberikan gambaran hampir sama dari sudut persaingan. Melayu membentuk sekitar 49.4 peratus pengundinya. Young Syefura Othman memperoleh 25,075 undi, Liow Tiong Lai daripada BN 24,383 undi dan calon PN Roslan Hassan 16,233 undi.
Majoriti kemenangan hanyalah 692 undi. Sekali lagi, undi BN dan PN tidak boleh dicampurkan begitu sahaja dan dianggap semuanya undi Melayu.
Tetapi angka tersebut memberikan satu mesej kepada kedua-dua BN dan PN: persaingan sesama sendiri dalam kerusi dengan komposisi pengundi Melayu yang besar boleh memecahkan kekuatan politik dan menentukan siapa akhirnya memperoleh kerusi tersebut.
Pengajarannya mudah. Jumlah yang besar tidak semestinya menghasilkan kekuatan sekiranya ia berpecah. Majoriti pada angka tidak semestinya menjadi majoriti pada kuasa.
Dalam khazanah siyasah Islam, realiti kekuatan masyarakat turut diberikan perhatian. Rasulullah SAW menyebut mengenai kedudukan Quraisy dalam kepimpinan.
Ketika membahaskannya dalam al-Muqaddimah, Ibn Khaldun menjelaskan bahawa Quraisy ketika itu mempunyai kekuatan, kedudukan dan penerimaan yang luas dalam masyarakat Arab sehingga kepimpinan mereka mampu diterima dan membantu membentuk kesatuan pemerintahan.
Hadis mengenai Quraisy tentunya tidak boleh disamakan secara langsung dengan kedudukan Melayu hari ini. Namun terdapat satu prinsip siyasah yang boleh difahami, iaitu kepimpinan dan kestabilan pemerintahan tidak boleh dipisahkan daripada realiti kekuatan masyarakat yang membentuk sesebuah negara.
Dalam konteks Malaysia, Melayu-Islam bukan sahaja merupakan kelompok terbesar, bahkan mempunyai hubungan rapat dengan sejarah pembentukan negara, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja dan struktur Perlembagaan.
Justeru, memastikan Melayu-Islam kekal sebagai teras utama politik dan pemerintahan negara perlu dilihat bersama kewajipan menegakkan keadilan dan memelihara hak seluruh rakyat.
Kekuatan ini bukan bermaksud menafikan penyertaan kaum atau agama lain. Sebaliknya, kelompok yang menjadi teras kepada negara mestilah cukup kuat untuk memimpin dengan yakin, stabil dan adil.
Dalam Islam, kekuatan pemerintahan akhirnya diukur bukan sekadar pada siapa memegang kuasa, tetapi bagaimana kuasa digunakan untuk menegakkan keadilan, menjaga maslahat dan membawa kesejahteraan kepada semua.
Di sinilah penyatuan mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan. Apabila Melayu bersatu, Melayu menjadi lebih kuat.
Apabila kekuatan itu diterjemahkan kepada kerajaan dengan majoriti kukuh, politik menjadi lebih stabil. Apabila kerajaan stabil, lebih banyak agenda pembangunan dapat dirancang dan dilaksanakan.
Pengalaman Malaysia menunjukkan perkara ini. Kita boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kekuatan dan kestabilan kerajaan pada zamannya memberikan ruang untuk beliau membawa negara mengikut visi yang diyakininya.
Wawasan 2020, pembangunan industri, infrastruktur dan projek strategik dapat digerakkan dalam kerangka pembangunan jangka panjang.
Begitu juga era Datuk Seri Najib Razak. Kita boleh berbeza pandangan terhadap beliau, tetapi kekuatan kerajaan ketika itu memberikan ruang kepada agenda seperti Program Transformasi Ekonomi, MRT dan projek infrastruktur strategik untuk dirancang serta dilaksanakan.
Kedua-duanya mempunyai visi terhadap arah negara dan mempunyai ruang politik untuk menggerakkannya.
Inilah nilai kestabilan. Kestabilan bukan sekadar kerajaan mampu bertahan sehingga tamat penggal. Kestabilan memberikan ruang kepada kerajaan untuk berfikir melangkaui survival politik — merancang lima, sepuluh bahkan dua puluh tahun ke hadapan.
Dalam suasana ekonomi, teknologi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar, negara memerlukan kerajaan yang mampu memberi tumpuan kepada pembangunan, bukannya sentiasa disibukkan dengan persoalan cukup atau tidak cukup bilangannya di Parlimen.
Sebab itu penyatuan Melayu-Islam perlu dilihat melangkaui soal siapa akan bekerjasama dengan siapa.
Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana kekuatan demografi terbesar negara dapat diterjemahkan kepada kekuatan politik, seterusnya membentuk pemerintahan yang stabil dan mampu membawa negara ke hadapan.
Mesejnya mudah: Melayu bersatu, Melayu kuat. Melayu kuat, kerajaan stabil. Kerajaan stabil, pembangunan negara dapat digerakkan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Demografi membentuk kekuatan, tetapi penyatuanlah yang menterjemahkan kekuatan itu kepada kestabilan.
* Penulis ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Peningkatan Kualiti dan Produktiviti. Bidang kepakaran beliau merangkumi pengukuran kualiti dan produktiviti, sistem pengurusan kualiti Islam serta pengurusan dan perancangan strategik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
