Warga asing buka klinik haram

KUALA LUMPUR - Sekurangnya empat premis menjual dan menyimpan ubatan haram disyaki dikendalikan warga asing dikesan dalam serbuan di sekitar Lebuh Pudu di sini pada Ahad.
Kegiatan itu dikesan menerusi Op Bersepadu Mega yang digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
JIM bertindak menahan 472 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi bermula jam 11 pagi itu.

Sinar Harian difahamkan, dua daripada empat premis terbabit beroperasi bagai klinik apabila terdapat penemuan mesin saringan pemeriksaan darah tinggi, gula dan darah.
Premis terbabit juga bersembunyi di sebalik premis menjual kain serta syarikat pelancongan.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Shafilliza Samsuri berkata, pelbagai ubatan yang tiada kelulusan KKM telah dirampas.
"Klinik ini menyasarkan pelanggan warga asing.
"Modus operandi yang dikesan ialah premis disyaki dioperasikan oleh doktor warga asing. Namun semasa serbuan tiada individu berada di dalam premis.
"Siasatan awal mendapati pesakit akan dibawa ke bilik belakang premis untuk jalani ujian pemeriksaan tekanan darah dan gula sebelum diberi ubat," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Tambahnya, antara ubatan yang dirampas di premis terbabit ialah antibiotik, darah tinggi serta jangkitan kulat selain penemuan ubat suntikan kebas serta penemuan set jarum.
Katanya, kebanyakan ubat ini disyaki dibawa masuk dari Bangladesh.
"Kita akan siasat siapa penyewa dan kenal pasti individu yang berperanan sebagai doktor itu," ujarnya.
Dalam operasi terbabit juga, SSM telah mengeluarkan 25 kompaun atas pelbagai kesalahan berjumlah RM66,500 hasil pemeriksaan 125 premis.
Antaranya kesalahan ialah gagal mempamerkan nama dan nombor pendaftaran di papan tanda, resit rasmi, bil dan invois selain gagal mempamerkan sijil perakuan pendaftaran perniagaan di premis serta gagal mengemukakan butir perubahan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016.
SSM juga akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 5C Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 serta Seksyen 549 Akta Syarikat 2016 berkaitan salahguna pendaftaran perniagaan dengan membenarkan warga asing menjalankan perniagaan.
Bagi KPDN Kuala Lumpur pula, sebanyak 10 kompaun bernjumlah RM8,500 membabitkan harga dan alat timbang telah diambil.
Selain itu, minyak masak peket seberat 119 kilogram turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
