Kampung haram warga asing di Setia Alam: MB arah roboh segera

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan tindakan segera diambil terhadap kewujudan penempatan haram warga asing di Kampung Budiman, Setia Alam di sini yang dipercayai sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Beliau berkata, arahan itu susulan keputusan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan (MTKN) Negeri Selangor beberapa hari lalu yang menetapkan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan terhadap pencerobohan tanah.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis kepada pemilik tanah terbabit.
"Hari ini apabila perkara ini dibangkitkan, saya sudah maklumkan kepada pihak terbabit dan percaya tindakan segera akan dilakukan terutama notis kepada tuan tanah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Pelancaran Festival Turath Islami Selangor di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan ratusan penempatan haram dipercayai didiami ribuan warga asing masih wujud di kawasan pinggir bandar Shah Alam walaupun beberapa siri serbuan dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan.
Laporan itu turut memetik tinjauan di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam dan Jalan Hamzah, Kampung Budiman mendapati terdapat penempatan haram dibina di kawasan ladang kelapa sawit sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan.
Pada Isnin, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menyiasat dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di sekitar kawasan itu, walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil awal April lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bersepadu melibatkan agensi berkaitan akan dijalankan sekiranya siasatan mendapati dakwaan itu adalah benar.
Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan, sekiranya kawasan itu adalah tanah kerajaan, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan, manakala bagi tanah persendirian, pemilik tanah diminta mengambil tindakan terlebih dahulu.
"Isu ini bukan membabitkan warga asing semata-mata, sebaliknya tindakan akan diambil terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah kerajaan," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

