RHB lengkapkan pelan antirasuah lima tahun

Pencapaian RHB melengkapkan OACP 2022–2026 memperkukuh tadbir urus, ketelusan, akauntabiliti serta amalan perniagaan beretika di seluruh Kumpulan.
Pencapaian RHB melengkapkan OACP 2022–2026 memperkukuh tadbir urus, ketelusan, akauntabiliti serta amalan perniagaan beretika di seluruh Kumpulan.
A
A
A

RHB Banking Group (RHB) berjaya melengkapkan kesemua 27 inisiatif di bawah Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) 2022–2026 sekali gus memperkukuh tadbir urus, ketelusan, akauntabiliti serta amalan perniagaan beretika di seluruh Kumpulan.

Pencapaian mencerminkan komitmen berterusan RHB membina organisasi yang dipercayai dan bertanggungjawab selain menyokong aspirasi jangka panjang Kumpulan di bawah PROGRESS27.

Dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, OACP menyediakan rangka kerja menyeluruh memperkukuh amalan tadbir urus, meningkatkan pengurusan risiko rasuah, meningkatkan kesedaran serta menerapkan budaya integriti lebih kukuh merentasi organisasi.

Antara pencapaian utama sepanjang tempoh pelaksanaan OACP ialah penyempurnaan fasa pertama Penilaian Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) serta pengiktirafan Tempat Ketiga dalam Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan di National Annual Corporate Governance & Sustainability Awards, yang mencerminkan usaha berterusan Kumpulan dalam mengekalkan standard tertinggi tadbir urus dan amalan perniagaan beretika.

Pengerusi RHB Banking Group, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, penyempurnaan OACP mencerminkan komitmen bersama seluruh warga kerja menjunjung integriti dan akauntabiliti dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Penyempurnaan Pelan Antirasuah Organisasi kami merupakan satu pencapaian penting, namun ia hanyalah satu langkah dalam perjalanan lebih luas untuk memperkukuh kepercayaan dan akauntabiliti dalam organisasi.

“Ketika jangkaan terus berubah, integriti mesti kekal menjadi teras kepada cara kita memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, berinteraksi dengan pihak berkepentingan dan mewujudkan nilai jangka panjang.

“Setiap warga kerja memainkan peranan penting dalam membina sebuah organisasi yang dipercayai, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya ketika berucap pada pembukaan Minggu Integriti 2026 yang menghimpunkan warga kerja dan rakan strategik menerusi siri program yang menumpukan kepada integriti, tadbir urus dan pembuatan keputusan beretika.

Minggu Integriti 2026 turut memperkukuh pendirian toleransi sifar RHB terhadap rasuah dan salah laku.

Artikel Berkaitan:

Program itu menampilkan Ikrar Integriti Kumpulan yang diketuai Pengerusi, latihan antirasuah, perbincangan berkaitan tadbir urus serta reruai interaksi yang dikendalikan rakan strategik termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Rasuah Busters.

Salah satu acara kemuncak minggu berkenaan ialah penyampaian Anugerah Kecemerlangan Integriti yang mengiktiraf warga kerja yang menunjukkan kepimpinan beretika, nilai-nilai murni yang kukuh serta keberanian untuk melakukan perkara yang betul.

Anugerah tersebut menggariskan komitmen RHB dalam memperkasakan warga kerja untuk menyuarakan kebimbangan dan melaporkan potensi salah laku melalui saluran sewajarnya.

Dalam pada itu, berdasarkan asas kukuh yang dibentuk menerusi OACP, RHB kini sedang membangunkan Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) selaras dengan aspirasi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.

OACS akan memperkukuh integrasi pertimbangan berkaitan integriti dalam pembuatan keputusan perniagaan, meningkatkan lagi amalan tadbir urus serta memperkukuh akauntabiliti, ketelusan dan amalan beretika di seluruh organisasi.

Mengulas hala tuju seterusnya, Pengarah Urusan Kumpulan/Pegawai Eksekutif Ketua Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, penyempurnaan OACP merupakan permulaan kepada fasa seterusnya Kumpulan dalam memperkukuh budaya integriti.

“Penyempurnaan Pelan Antirasuah Organisasi kami bukanlah pengakhiran perjalanan, sebaliknya permulaan kepada bab seterusnya.

“Ketika kami membangunkan Strategi Antirasuah Organisasi, tumpuan kami adalah untuk menerapkan integriti, akauntabiliti dan amalan beretika dengan lebih mendalam dalam setiap keputusan, setiap interaksi dan setiap hasil.

“Ini merupakan asas penting untuk meraih kepercayaan, memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan serta menyampaikan nilai mampan ketika kami meneruskan aspirasi PROGRESS27,” katanya.

Dalam meneruskan perjalanan transformasi di bawah PROGRESS27, RHB kekal komited untuk mengekalkan standard tertinggi integriti dan tadbir urus, dengan mengiktiraf kepercayaan sebagai antara aset terpenting dalam mewujudkan nilai mampan kepada pelanggan, komuniti, pemegang saham dan semua pihak berkepentingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!