SIC siap 80 peratus sambut GP Bahrain

PERSIAPAN Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menerima kehadiran perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain bulan depan sudah mencapai 80 peratus.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerja pembaikan dan penambahbaikan fasiliti yang bermula Isnin lalu berjalan mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan perlumbaan berprestij itu dapat berlangsung lancar.
Menurutnya, seramai 500 sukarelawan yang direkrut bagi membantu penganjuran berkenaan kini sedang dikenal pasti dan menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi tugasan masing-masing.
"Setakat ini, persiapan penganjuran sudah 80 peratus dan pasukan sukarelawan yang kami rekrut, iaitu 500 orang, sedang dikenal pasti dan diberikan latihan.
"Ini supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi penganjuran F1 kali ini dan SIC telah ditutup kepada orang ramai kerana kami sedang menaik taraf fasiliti," katanya.
Dr Mohammed Taufiq berpuas hati dengan perkembangan kerja penambahbaikan di SIC yang bukan sahaja mengikut garis masa, malah memenuhi keperluan Formula One Management dan Persekutuan Automobil Antarabangsa.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan mempercepat serta memudah cara urusan dan kelulusan yang masih tertangguh bagi memastikan persiapan F1 berjalan lancar.
Malaysia kembali menganjurkan F1 di SIC selepas sembilan tahun menerusi GP Bahrain yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini.
SIC sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran serta fi pelesenan.
Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia hasil kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
