Young Tigers tekad benam India

Adam Ashraf (kanan) mahu rakan sepasukan berjuang sehingga ke wisel penamat berdepan India dalam aksi separuh akhir Piala Remaja Asia di China hari ini. FOTO: Asian Hockey Federation.
Adam Ashraf (kanan) mahu rakan sepasukan berjuang sehingga ke wisel penamat berdepan India dalam aksi separuh akhir Piala Remaja Asia di China hari ini. FOTO: Asian Hockey Federation.
A
A
A

SKUAD hoki remaja lelaki negara tidak gentar untuk berdepan India pada separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China hari ini, sebaliknya bertekad mencipta kejutan untuk mara ke final.

Kapten Young Tigers, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari berkata, pasukannya tidak berasa gusar dengan reputasi India yang hadir selaku juara tiga edisi terdahulu kejohanan berkenaan.

“India datang sebagai juara tiga edisi, tapi esok (Jumaat) kita bukan datang untuk sekadar melengkapkan perlawanan. Kita datang untuk mencipta cerita kita sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar.

India hadir sebagai juara tiga edisi terdahulu Piala Remaja Asia, masing-masing pada 2015, 2023 dan 2024. Secara keseluruhan, India sudah lima kali muncul juara selepas turut menjuarai edisi 2004 dan 2008.

Malaysia pula pernah menjulang trofi Piala Remaja Asia pada 2012, namun rekod pertemuan sebelum ini lebih memihak India apabila mereka menewaskan Young Tigers 3-1 pada separuh akhir edisi 2024.

Adam Ashraf berkata, keputusan lalu tidak akan mempengaruhi persiapan pasukan negara yang mahu memberikan aksi terbaik dalam pertembungan penting itu.

“Kami sedia lakar kejutan. Kami sedia cipta sejarah. Percaya pada diri, percaya pada pasukan dan berjuang sampai wisel terakhir,” katanya.

Skuad Young Tigers mara ke separuh akhir selepas menewaskan China 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B, sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2027.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!